sukan

Allah berkati Johor dan keluarga besar JDT – TMJ

KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menzahirkan perasaan bangga terhadap pencapaian dianggap luar biasa berjaya diraih Johor Darul Ta’zim (JDT) setakat ini bagi musim 2025-2026.

Tunku Mahkota Ismail menerusi satu komen di laman Instagram kelab itu menyenaraikan enam pencapaian yang sudah diraih skuad Harimau Selatan musim ini termasuk kejayaan menyamai rekod dunia sebagai pasukan yang meraih keputusan tanpa kalah terpanjang dalam liga dan merekodkan jaringan tertinggi bagi sejarah Liga Super.

Baginda yang juga pemilik JDT menganggap ia sebagai pencapaian luar biasa ketika skuad Xisco Munoz dilanda krisis terutama kecederaan bintang sensasi, Arif Aiman Hanapi dan penggantungan tiga pemain yang dipercayai merujuk kepada Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hecor Hevel.

“Tahun ini kita dilanda krisis. Pemain terbaik kita Arif Aiman cedera, tiga permain kita digantung. Walaupun dilanda krisis, pasukan kita berjaya juara liga tanpa kalah. Merekodkan jaringan tertinggi dalam sejarah Liga Super.

“Juara Piala FA. Mara ke suku akhir ACLE (Liga Juara-Juara Asia Elit), lapan terbaik Asia. Final piala Malaysia dan separuh akhir Piala Shopee (Kejuaraan Kelab ASEAN). Samakan rekod dunia kemenangan terbanyak tanpa kalah dalam Liga. Rekod dunia.

“Ingat bahawa kami berjaya capai sasaran ini semua dengan pasukan yang ‘baru’, pemain yang baru, transisi pasukan dan apabila sedang dilanda krisis. Jadi bersyukur dengan pencapaian luar biasa ini.

“Jangan asyik senang tuding jari ikut emosi tanpa fikir menggunakan otak. Kecewa dengan kekalahan OK, kalah menang itu adat, tetapi jangan terlepas pandang gambaran yang lebih besar iaitu pencapaian yang hebat ini.

“JDT selamanya JDT, kami bukan satu pasukan, kami adalah sebuah empayar, kami adalah gerakan. Allah berkati Johor dan keluarga besar JDT,” titah Tunku Mahkota Ismail.

JDT menyamai rekod dunia dilakar kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas dari tahun 1989 hingga 1994 apabila merekodkan 108 perlawanan tanpa kalah dalam Liga Super sejak 2021 selepas membelasah Kelantan The Real Warriors 14-1, Ahad lalu.

Kemenangan itu menjadi kemenangan terbesar dalam sejarah Liga Super dan JDT juga mencipta rekod sebagai pasukan yang meledak gol terbanyak dalam semusim selepas mengumpul 117 musim ini.

Harimau Selatan akan berdepan kelab Thailand bagi aksi separuh akhir kedua Kejuaraan Kelab ASEAN, malam ini selain perlu bersiap untuk final Piala Malaysia menentang Kuching City, 23 Mei depan.