NEWCASTLE, England: Jurulatih Manchester United, Ruben Amorim menegaskan beliau faham kritikan yang ditujukan kepadanya dan pasukannya selepas satu lagi kekalahan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) di Newcastle United awal pagi tadi, tetapi mendakwa kalah dalam permainan lebih teruk berbanding sebarang kutukan peribadi.
Pasukan kendalian Amorim kalah kali ke-14 dalam liga musim ini – menyamai jumlah kekalahan yang dialami mereka sepanjang kempen 2023-24.
United mempamerkan beberapa gerakan memberangsangkan di St James’ Park tetapi dua gol daripada Harvey Barnes, mengambil kesempatan beberapa kesilapan bertahan lawan, menyebabkan pasukan Amorim terdampar di tangga ke-14 carta dengan berbaki enam perlawanan.
“Saya faham (kritikan) tetapi saya tidak peduli,” kata Amorim.
“Tiada apa yang lebih teruk berbanding kalah perlawanan. Mereka boleh katakan apa sahaja yang mereka mahu. Saya tidak mahu mempertahankan diri saya atau sesuatu sepertinya. Jika anda lihat kedudukan kami dalam carta, ia menceritakan segala-galanya.
“Apabila kami dihukum dengan gol kedua lawan pada awal babak kedua, kami mula kecewa dan kami perlu bertindak lebih baik dalam detik sebegini, kami perlu menanganinya.
“Kami perlu meningkatkan banyak perkara dan kedudukan kami menjadi cerminan mengenai persembahan kami musim ini.”
Di ambang kutipan mata EPL paling buruk dalam sejarah, Amorim melakukan lima perubahan dalam kesebelasan utama, dengan aksi suku akhir kedua Liga Europa menentang Olympique Lyonnais menjadi tumpuan awal pagi Jumaat ini.
Perubahan yang mencuri tumpuan adalah apabila penjaga gol utama Andre Onana diketepikan daripada skuad, dengan Altay Bayindir meraih penampilan sulung dalam EPL.
Pemain antarabangsa Turkiye itu bagaimanapun bergelut, dengan kesilapannya menghadiahkan Newcastle gol keempat mereka.
“Sekalipun kami meletakkan kesebelasan utama berbeza, kami tidak tahu keputusannya,” kata Amorim. “Tetapi kami perlu membuat pilihan, kami beraksi tiga hari lalu.
“Kami akan menganalisis permainan, tetapi kami perlu fokus kepada yang berikutnya, kami tidak boleh mengubah yang ini, yang berikutnya besar kuat kami, jadi biarkan kami fokus yang berikutnya Khamis ini untuk beraksi lebih baik dan memenangi perlawanan itu.” – REUTERS