KUALA LUMPUR: Kehadiran lapan pemain warisan baharu yang dijangka memperkuat skuad Harimau Malaya seharusnya menjadi ‘wake up call’ buat semua pemain tempatan supaya tidak terlampau selesa dengan status sebagai anak jati.
Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin melihat kehadiran lebih ramai ‘harimau bermata biru’ ini bakal mencetuskan ‘perang besar’ dalam membangkitkan semangat perjuangan untuk pemain tempatan bagi merebut tempat dalam skuad utama.
Tegasnya, anak tempatan tidak perlu melihat pemain warisan baharu ini sebagai ‘ancaman’ buat mereka dengan menganggap mereka akan menutup peluang buat anak tempatan daripada menyarung jersi skuad Harimau Malaya.
“Sebagai anak jati, anak tempatan ini tidak boleh anggap mereka ada keistimewaan untuk bermain di skuad kebangsaan. Dengan kemasukan beberapa lagi pemain baharu, mereka perlu lipatgandakan usaha supaya tidak berada di zon selesa.
“Bukan saya mahu memperkecil bakat anak tempatan tetapi setakat ini, saya lihat tidak ramai pemain tempatan yang boleh mencapai sehingga ke tahap tertinggi. Jadi, tiada tempat automatik untuk pemain tempatan di mana mereka perlu bersaing.
“Malah kalau kita katakan Arif Aiman Hanapi sebagai pemain tempatan terbaik, dia pun mungkin akan diketepikan jika pemain warisan baharu itu ada kualiti yang lebih baik berbanding dia.
“Jadi saya lihat, kemasukan pemain warisan baharu ini akan membuatkan pemain tempatan bekerja lebih keras, jangan mudah mengalah kerana kalau tidak, mereka tidak akan mendapat tempat dalam skuad kebangsaan,” katanya.
Terdahulu, BH Sukan melaporkan kehadiran lapan lagi pemain berdarah warisan yang bakal memperkuat skuad Harimau Malaya menerusi revolusi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), senario itu mencetuskan kebarangkalian tiadanya ‘anak tempatan’ membarisi kesebelasan utama skuad kebangsaan selepas ini.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Ab Karim melihat jika ada anak tempatan sekalipun, berkemungkinan besar hanya pemain dengan kaliber dan kualiti seperti Arif Aiman Hanapi yang mampu untuk memberi saingan kepada pemain berdarah warisan ataupun naturalisasi sekali gus menembusi skuad utama.
Justeru, Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu menegaskan kehadiran pemain warisan baharu ini perlulah bersyarat di mana pengambilan mereka benar-benar akan mengangkat kualiti skuad kebangsaan ke tahap yang lebih tinggi berbanding ketika ini.
Dalam perkembangan sama, Sulaiman yang juga Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mengharapkan pemain tempatan mendapat pendedahan yang lebih berkualiti sekali gus memastikan mereka cukup bersedia untuk menghadapi tugasan antarabangsa.
“Kita kenalpasti pemain yang berpotensi tinggi untuk dihantar bagi mendapatkan pendedahan beraksi di liga luar. Kita biarkan mereka bermain di sana dan hanya panggil untuk tugasan antarabangsa.
“Ini yang dilakukan oleh pemain Jepun di mana pemain di Liga Jepun pun sukar mendapat peluang kerana kebanyakannya didominasi oleh pemain berpengkalan di luar seperti di Eropah,” katanya.
Sebagai rekod, antara pemain berdarah warisan sedia ada antaranya Dion Cools, Matthew Davies, Brendan Gan, Darren Lok Natxo Insa, La’Vere Corbin-Ong dan Dominic Tan.
Selain itu, Stuart Wilkin, Nooa Laine dan Daniel Ting dan kehadiran lapan lagi pemain berdarah warisan baharu ini menyaksikan skuad negara memiliki sekurang-kurangnya 18 pemain berdarah warisan.