sukan

Aniq Kasdan mengesahkan slot secara merit

PERSATUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) akan melihat semula pendekatan lebih efektif bagi meningkatkan prestasi jagoan angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan selepas badang negara tersebut mengesahkan slot secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Perancis.

Malah presidennya, Datuk Ayub Rahmat menegaskan pencapaian pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 semasa kempen kelayakan terakhir di Phuket, Thailand pada Selasa tidak menggambarkan keupayaan sebenar atlet kelahiran Segamat, Johor tersebut.

Katanya, beliau sememangnya menjangkakan Aniq akan layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 berdasarkan kedudukan ranking dan prestasi semasa atlet tersebut.

“Cumanya kami terkilan persembahan beliau kurang memuaskan tambahan pula gagal capai sasaran angkatan keseluruhan 300 kilogram.

“Sebenarnya saya percaya Aniq mampu melakukan lebih baik di Phuket, tapi mungkin faktor puasa, namun itu bukan alasan sebab saya pun puasa sampai ke Phuket,” katanya kepada Sukan Sinar.

Siri kelayakan Piala Dunia Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) di Phuket itu menyaksikan atlet China, Li Fabin unggul dengan angkatan keseluruhan 312kg, wakil Korea Utara, Park Myongjin kedua (301kg) diikuti atlet Filipina, Ceniza John (300kg) manakala Aniq (290kg) kelapan bagi Kategori 61kg.

sumber:-SH

Bagaimanapun keputusan itu tidak menjejaskan kedudukan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke Paris 2024 apabila masih dalam status 10 terbaik ranking IWF.