sukan

Annuar gesa Kelantan TRW gugat sang juara Liga Super

BAPA pembangunan bola sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa menyasarkan pasukan Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) yang bakal beraksi dalam Liga Super musim 2025/2026 mampu menggugat pasukan juara.

“Saya percaya Kelantan TRW tidak akan menampilkan pasukan yang tidak berkemampuan untuk bersaing di liga profesional bertaraf tinggi.

“Tidak semestinya juara secara mendadak, tetapi mampu menggusarkan pasukan juara,” tulis beliau menerusi entri di Facebook pada Isnin.

Menurut beliau, penyokong bola sepak Kelantan bakal menerima khabar gembira apabila Kelantan TRW akan mengumumkan kehadiran tonggak import dari 10 buah negara dalam masa terdekat.

Katanya, kesemua pemain import itu akan digabungkan dalam satu pasukan untuk melahirkan semula kekuatan baharu Kelantan TRW.

Tan Sri Annuar turut menyenaraikan negara asal pemain import berkenaan, iaitu dari Ivory Coast, Nigeria, Bahrain, Lubnan, Syria, Kanada, Myanmar, Filipina, England dan Sierra Leone.

“Jelas kerinduan terhadap kecemerlangan Kelantan yang hilang, terkubur tanpa nisan… The Red Warriors. Biar ia menjadi kenangan dan pengajaran.

“Mencipta semula kecemerlangan bukan sesuatu yang mustahil. Tetapi ia tidak mudah. Sepatutnya pada saat begini, KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan) sebagai payung induk dapat memandu arah.

sumber:- SH

“Namun malangnya ia tidak kelihatan berperanan. Mujurlah semangat yang membara terus menyala di setiap peringkat Liga Malaysia,” katanya.