sukan

Antara naturalisasi dan kacukan Asean: Siapa paling bijak?

KUALA LUMPUR: Ketika pasukan Harimau Malaya menamatkan badi 11 tahun tanpa kemenangan ke atas Vietnam dengan membelasah pasukan itu 4-0 baru-baru ini sebenarnya membuka mata industri bola sepak di rantau ini bahawa strategi pemain naturalisasi dan kacukan membawa mampu perubahan besar dalam skuad bola sepak.

Malaysia bukan bersendirian kerana negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam juga mempunyai pendekatan masing-masing dalam memperkuatkan skuad kebangsaan namun siapa sebenarnya lebih bijak dan berkesan dalam merencana masa depan bola sepak masing-masing?

Malaysia dilihat menggabungkan dua pendekatan utama iaitu membabitkan pemain berdarah campuran atau warisan, dan pemain asing atau naturalisasi yang layak selepas beraksi lama di Liga Malaysia.

Nama pemain naturalisasi seperti Paulo Josue, Endrick Dos Santos dan Romel Morales menerusi gabungan tonggak kacukan terbaharu iaitu Facundo Garces, Jon Irazabal,Hector Hevel,Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Dion Cools dan ramai lagi adalah bukti keberanian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mempercepat proses kebangkitan.

Jurulatih Peter Cklamovski turut dilihat menyokong penggunaan pemain naturalisasi dan kacukan sebagai pelengkap kepada corak permainan moden yang diterapkannya.

“Yang penting adalah komitmen dan kefahaman terhadap corak permainan negara,” katanya baru-baru ini.

Namun, jika dilihat ke Indonesia, negara itu dilabel sebagai paling agresif dalam projek naturalisasi.

Hal ini kerana, sejak dua tahun kebelakangan ini, lebih 10 pemain berdarah Indonesia dari Eropah dibawa pulang termasuk Sandy Walsh, Shayne Pattynama dan Rafael Struick selain Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) sendiri menghantar pencari bakat ke Belanda dan beberapa negara Eropah lain.

Thailand pula mengambil pendekatan lebih selektif kerana mereka fokus kepada pemain berdarah campuran Thailand yang beraksi di liga Eropah seperti Tristan Do, Charyl Chappuis dan Nicholas Mickelson yang berjaya mencipta impak tanpa mencetus kontroversi dalam kalangan peminat.

Berbeza pula dengan Vietnam, mereka masih mengekalkan strategi tradisional iaitu lebih berminat membangunkan bakat tempatan melalui akademi dan liga domestik.

Hasilnya, skuad mereka memiliki keserasian tinggi dan identiti bola sepak yang tersendiri, namun mungkin mula ketinggalan apabila negara jiran mempercepatkan proses pembangunan dengan ‘import’.

Berdasarkan kepada situasi semasa, penyokong Harimau Malaya pula rata-rata menyambut baik strategi semasa, asalkan pemain yang dipilih mampu memberi impak dan menunjukkan semangat nasionalisme sebenar.

Apa pun, di pentas Asia, masa tidak menunggu kerana siapa yang paling cepat menyesuaikan diri dan kekal konsisten akan berada di hadapan.

sumber:- HM

Naturalisasi bukan lagi isu tabu namun satu strategi moden dalam mengejar kejayaan bola sepak antarabangsa.