KUALA LUMPUR: ‘Bencana’ yang dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC sehingga pemain memboikot sesi latihan sememangnya satu situasi yang menyedihkan dan ia sama sekali tidak pernah dijangka akan berlaku ke atas pasukan dengan kaliber seperti KDA FC.
Bekas jurulatih Kedah tahun 2001-2002, Wan Jamak Wan Hassan menyifatkan tindakan boikot itu bagaikan satu tamparan bukan sahaja kepada pemain dan pegawai malah buat pengurusan sekali gus dia mengharapkan isu ini dapat diselesaikan dengan segera.
Tegasnya, tindakan memboikot sesi latihan yang dipercayai berpunca daripada isu tunggakan gaji bukan sahaja memalukan reputasi KDA FC malah mampu mencemarkan nama baik pasukan negara dan juga Liga Malaysia (Liga M).
“Kita sedia maklum Kedah adalah pasukan gergasi bola sepak jadi apabila berlaku seperti ini (pemain boikot latihan), ini adalah satu tamparan. Kita pun tidak tahu kenapa jadi sampai begitu kerana kita orang luar, kita tidak nampak untuk mengulas.
“Kita kena lihat macam mana benda itu, mereka yang kendalikan pasukan perlu jaga kebajikan supaya pemain tidak melarikan diri sampai tidak datang sesi latihan. Pemain ada kontrak masing-masing dan pengurusan juga perlu jalankan tanggungjawab mereka.
“Bagi saya, sedih dan saya pun tiada kata-kata, kelu lidah nak bercakap kerana tidak pernah terlintas pun di hati kita, perkara ini boleh berlaku kepada Kedah dan sudah pasti ini membimbangkan semua pihak.
“Bola sepak bukan dikendalikan oleh satu orang tetapi kalau sudah sampai satu pasukan memboikot, ini bukan hanya membabitkan satu pemain tetapi ramai pemain. Bagi saya, perkara ini perlu diselesaikan segera,” katanya.
Terdahulu, kemelut dalaman membabitkan pasukan skuad ‘Kenari’ makin meruncing apabila difahamkan barisan pemain memboikot sesi latihan sejak kelmarin.
Tindakan memulau sesi latihan diambil sebagai isyarat kepada pihak pengurusan kelab atas kegagalan membayar gaji pemain sejak awal musim ini.
sumber:-BH
Sumber memaklumkan, barisan pemain amat terdesak dan mahu isu tunggakan gaji itu diselesaikan segera.