Apa sudah jadi dengan Mickey?

Pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim sekali lagi mencuri perhatian warganet selepas memuat naik gambar hitam putih tanpa sebarang kapsyen di laman Instagram miliknya, semalam.

Walaupun tanpa kata, hantaran itu mencetuskan ribuan komen daripada netizen yang memenuhi ruangan itu dengan mesej sokongan dan doa semangat buat Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey.

Rata-rata pengikut mendoakan supaya pemain sayap Harimau Malaya itu terus kuat menghadapi pelbagai ujian, bukan sahaja di padang tetapi juga dalam kehidupan peribadinya.

Untuk rekod, Faisal sebelum ini berdepan pelbagai dugaan di luar padang termasuk isu rumah tangga yang kembali menjadi perhatian ramai.

Pemain berusia 27 tahun berasal dari Pulau Pinang itu sebelum ini pernah menjadi mangsa insiden simbah asid di sebuah pusat beli-belah pada Mei lalu dan terpaksa berehat panjang.

Dia bagaimanapun kembali pulih dan beraksi bersama Selangor pada Ogos lalu selain dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2027 di bawah kendalian jurulatih Peter Cklamovski.

Isnin lalu, isterinya Nur Syazwani Mizuana Shahri memuat naik gambar di laman sosial dengan kapsyen berbunyi “perkahwinan bukan satu perjudian, patut la layan aku macam sampah” yang sekali lagi menimbulkan tanda tanya mengenai kemelut rumah tangga mereka.

Terdahulu, Syazwani pernah memfailkan perceraian terhadap Faisal di Mahkamah Rendah Syariah Klang namun pasangan itu memilih untuk berdamai demi keluarga.

Faisal dan Syazwani mendirikan rumah tangga pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Khalish Aryan.

Walaupun berdepan pelbagai ujian, Faisal terus mendapat sokongan padu daripada penyokong bola sepak tanah air yang mahu melihatnya kekal kuat dan fokus bersama Selangor FC serta skuad kebangsaan.