sukan

Apa sudah jadi Selangor?

KUALA LUMPUR: Apa sudah jadi kepada Selangor FC (SFC)?

Kekalahan di tangan Terengganu FC (TFC) pada aksi separuh akhir pertama Piala FA semalam menyaksikan mereka kini sudahpun tewas tiga kali hanya dalam lapan perlawanan bagi musim 2024/25 setakat ini.

Sebagai perbandingan, kekalahan ketiga mereka pada musim 2023 hanya hadir pada perlawanan ke-15 selepas mereka dikejutkan PDRM FC 0-1 pada aksi Liga Super.

Bermula dengan baik dalam empat perlawanan pertama yang menyaksikan skuad bimbingan Nidzam Jamil cemerlang merakam empat kemenangan namun segala-galanya ‘tunggang terbalik’ bermula dari aksi suku akhir Piala FA menentang Kuching City FC (KCFC).

Tewas 1-2 di tangan KCFC pada suku akhir pertama, mereka bangkit 3-2 pada aksi kedua dan memerlukan penentuan sepakan penalti untuk mara ke separuh akhir Piala FA berdepan TFC.

Ketika penyokong mengharapkan SFC terus bangkit namun ‘gergasi’ terus ‘lena’ apabila tumbang 0-1 di tangan KL City FC pada aksi ‘Derbi Lembah Klang’ dan terbaharu, tewas 2-3 di tangan skuad Penyu pada aksi di tempat lawan.

Ketika mereka dianggap mampu tampil lebih mantap dan lebih ‘garang’ pada musim ini namun situasi semasa tampaknya tidak berpihak kepada SFC ketika penyokong membalas kepercayaan dengan memastikan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sentiasa ‘full house’.

Jentera serangan mereka sebenarnya tidak berdepan masalah kerana selain tewas 0-1 di tangan KL City FC, mereka berjaya meledak gol dalam setiap perlawanan – 18 gol secara keseluruhan sepanjang musim 2024.

Tetapi apa yang sepatutnya dirisaukan adalah apabila melihat pertahanan SFC ‘bersenang-lenang’ melepaskan lapan gol dalam empat aksi terakhir – ketika mereka hanya membenarkan satu gol dalam empat aksi pertama.

Berdasarkan analisis ringkas, dua gol dibolosi kepada berdepan KCFC pada suku akhir berpunca selepas situasi kelam-kabut di hadapan gol bermula daripada sepakan percuma dan masalah komunikasi antara barisan pertahanan dan penjaga gol.

Gol tunggal yang dilepaskan ketika berdepan KL City FC pula berpunca selepas mereka kehilangan bola dalam kawasan sendiri dan mereka dihukum dengan jaringan Jovan Motika.

Mereka bolos menerusi sepakan percuma Safawi Rasid, kealpaan menutup ruang membenarkan Nurillo Tukhtasinov melancarkan rembatan jauh sebelum kegagalan pertahanan menghalang tandukan Ismahil Akinade untuk gol ketiga TFC.

Rekod 2023 jelas lebih baik di mana mereka melepaskan lapan gol dalam lapan perlawanan dengan separuh daripadanya iaitu empat gol dibolosi ketika mereka dibelasah Johor Darul Ta’zim (JDT) 0-4.

sumber:-BH

Malah, rekod mereka selepas lapan perlawanan pada musim lalu lebih baik dengan enam kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan berbanding musim ini dengan tiga kekalahan di sebalik lima kemenangan dikecapi.