sukan

Arif, Afiq tekad mencipta rekod dunia baharu

KUALA LUMPUR: Bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M), Afiq Fazail enggan melepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada ‘pencipta’ sejarah skuad Harimau Selatan dalam memecahkan rekod dunia.

Juara bertahan Liga Super 12 kali berturut-turut itu akan berdepan Kuching City dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini, dengan skuad Harimau Selatan turut membawa misi untuk memadam rekod dunia yang sebelum ini dilakar ASEC Mimosas.

Kelab dari Ivory Coast itu sebelum ini memegang rekod dunia dengan merekodkan 108 perlawanan liga tanpa tewas dari 1989 hingga 1994 sebelum akhirnya kecundang kepada SO Armee.

JDT kemudian menyamai rekod ASEC Mimosas selepas membelasah Kelantan The Real Warriors (TRW) 14-1 di Stadium Sultan Ibrahim dalam aksi terakhir Liga Super 2025-2026 pada Mei lalu.

Arif Aiman menjelaskan dia bersyukur kerana dapat menyertai semula skuad selepas mengalami kecederaan jangka panjang pada musim lalu dan kini berpeluang menjadi sebahagian daripada skuad yang berpotensi mencipta rekod dunia.

“Ia adalah malam yang saya tidak mahu lepaskan dan saya boleh katakan perkara yang sama untuk semua rakan sepasukan saya.

“Setiap orang mempunyai peranan untuk dimainkan, termasuk penyokong kerana atmosfera yang mereka cipta di Stadium Sultan Ibrahim membuatkan kami rasa seperti ‘unstoppable’.

“Lihat sahaja betapa kuatnya kami di laman sendiri, termasuk dalam perlawanan Liga Juara-Juara Elit. Jadi, sertai kami malam ini dan bantu kami melepasi garisan penamat,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, JOHOR Southern Tigers.

Sementara itu, Afiq yang dinobatkan sebagai MVP dan Pemain Tengah Terbaik Liga M 2025-2026 memaklumkan dia amat berbangga kerana diberi peluang mengetuai pasukan negeri kelahirannya untuk mencipta rekod dunia.

“Saya sudah beraksi dalam banyak daripada 108 perlawanan yang kami lalui tanpa kalah setakat ini dan saya tidak sabar untuk menjadikan rekod dunia ini milik kami dengan mencatat kemenangan ke-109 menentang Kuching City.

“Saya berharap dapat melihat penyokong kami, yang menjadi sebahagian penting daripada keluarga JDT ini, memberikan sokongan dan sorakan kepada kami untuk mencipta rekod dunia baharu serta menempatkan JDT dan ‘Home of the Southern Tigers’ dalam lipatan sejarah,” kata kapten Harimau Selatan itu.