sukan

Arif Aiman jadi bukti pemain tempatan masih ‘bertaring’ – Subramaniam

Kuala Lumpur: Bekas pemain pertahanan kebangsaan, S Subramaniam menyifatkan kehadiran ramai pemain import dan warisan dalam Liga Malaysia (Liga M) bukan halangan buat pemain tempatan untuk menyerlah, sebaliknya sebagai cabaran wajar disahut dengan penuh semangat.

Beliau berkata, persaingan semakin sengit berbanding ketika zamannya bermain dahulu, namun ia bukan alasan untuk terus mengalah seperti yang dipamerkan bintang muda, Arif Aiman Hanapi.

Menurutnya, perubahan dalam era bola sepak negara hari ini termasuk kebenaran pendaftaran 15 pemain import oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan penambahan lima pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya jelas meningkatkan nilai persaingan.

“Sekarang persaingan lebih sengit berbanding zaman saya, tapi itu bukan alasan untuk menyerah.

“Mereka perlu ambil Arif Aiman sebagai inspirasi apabila dia membuktikan yang pemain lokal masih boleh jadi tonggak utama pasukan kebangsaan.

“Pemain lokal kena buka fikiran dan gandakan usaha. Peluang mungkin kurang, tapi bukan tiada langsung.

“Mereka kena berani cabar diri dan percaya yang mereka turut layak bersaing dengan pemain import dan warisan,” kata Subramaniam mengulas kemenangan 4-0 Malaysia ke atas Vietnam pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027, 10 Jun lalu.

Pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Arif Aiman tampil menyerlah di samping pemain warisan dan naturalisasi lain apabila melakukan dua umpanan jaringan, sekali gus menunjukkan anak tempatan masih mempunyai peranan besar dalam pasukan.

Subramaniam yang pernah memenangi beberapa pingat bersama Kelantan (termasuk Piala Malaysia 2010 dan Liga Super 2011) menyifatkan bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sebagai simbol kejayaan program pembangunan pemain kelab berkenaan.

“Empat kali dinobatkan sebagai ‘MR MVP (Pemain Paling Bernilai)’, umur muda dan konsisten setiap musim itu membuktikan sistem pembangunan akar umbi kita masih mampu lahirkan pemain berkualiti.

“Arif Aiman tunjuk yang dengan disiplin dan kerja keras, pemain tempatan tetap boleh bersaing,” tegasnya.

Beliau kekal positif dengan kemampuan anak tempatan bersaing dan menyinar di peringkat kelab serta kemudian membantu Harimau Malaya mencapai misi di pentas antarabangsa.

Untuk rekod, Subramaniam adalah bekas pemain bola sepak profesional Malaysia yang beraksi sebagai pertahanan tengah.

sumber:- HM

Beliau yang mengakhiri karier sebagai pemain bola sepak di Selangor FA kini meneruskan kerjaya dalam bidang kejurulatihan.