KUALA LUMPUR: Penyerang muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi berada dalam kelas tersendiri apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali ketiga berturut-turut pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 (ABK23), sebentar tadi.
ABK23 menyaksikan kecemerlangan buat bintang muda berusia 22 tahun yang berjaya mempertahankan gelaran itu selepas kali pertama dinobatkan sebagai MVP ketika usianya 19 tahun pada ABK21.
Prestasi cemerlangnya bersama JDT pada musim lalu melayakkan Arif untuk meraih anugerah itu selain turut menjadi nadi utama pasukan dalam membantu JDT mempertahankan kejuaraan Liga Super selama sedekad.
Arif menjadi pemain JDT pertama yang melakar hatrik meraih gelaran MVP dan pemain kedua mencipta rekod itu selepas bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha melakukannya pada tahun 2010, 2011 dan 2012.
“Syukur Alhamdulillah kerana saya berjaya meraih anugerah MVP buat kali ketiga dan sebenarnya pun tak sangka juga sebab saya baru sahaja berusia 22 tahun.
“Saya gembira dengan segala usaha yang saya lakukan selama ini untuk menang anugerah ini dan sudah tentu kejayaan ini akan memberi semangat untuk saya melakukan yang lebih baik.
“Saya tidak akan pernah rasa cepat berpuas hati dan seperti biasa saya akan terus berusaha buat yang terbaik untuk diri sendiri dan juga kelab (JDT),” katanya.
sumber:-BH
Selain itu, pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu turut mendominasi empat lagi anugerah lain iaitu Penyerang Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia 2023 serta berkongsi Anugerah Kasut Emas – Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super bersama penyerang Selangor FC, Faisal Abdul Halim.