Kuala Lumpur: Dalam dunia sukan, kehadiran bakat luar biasa bukan perkara berlaku setiap musim dan bagi bola sepak Malaysia, nama Arif Aiman kini disebut sebagai permata satu dalam dua dekad setaraf ikon sukan negara seperti Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David.
Itulah gambaran diberikan penganalisis bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, yang menyifatkan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sebagai pemain istimewa yang jarang sekali muncul dalam landskap bola sepak tanah air.
“Macam mana kita pernah ada Lee Chong Wei dalam badminton atau Nicol David dalam skuasy, Arif Aiman mungkin satu dalam dua dekad.
“Dia jenis pemain yang tak muncul selalu,” katanya kepada Arena Metro.
Penilaian itu hadir selepas aksi luar biasa Arif Aiman ketika membantu Harimau Malaya menewaskan Vietnam 4-0 dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027, di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun lalu.
Dalam perlawanan penuh tekanan itu, Arif Aiman bukan saja mencipta dua bantuan gol, malah menunjukkan kematangan luar biasa ketika mengawal rentak permainan, mencipta gerakan berbahaya dan menjadi penggerak utama kepada kemenangan.
“Kalau tak ada Arif Aiman hari tu, mungkin kita tak akan dapat dua gol tu.
“Dia bukan saja buat assist, tapi dia bawa ketenangan dan idea dalam setiap serangan,” ujarnya.
Lebih mengujakan, aura Arif Aiman turut menembusi benua apabila penyokong bola sepak dari Colombia secara terbuka menyuarakan hasrat mahu melihat pemain itu beraksi bersama pasukan mereka.
Menurutnya, pencapaian dan kematangan Arif Aiman banyak dibentuk oleh sistem profesional di JDT, yang memberi ruang kepada pemain muda untuk berkembang bersama barisan pemain bertaraf antarabangsa.
“Dia belajar daripada yang terbaik dan sekarang dia dah jadi ‘nadi’ utama Harimau Malaya.
“Peranan dia bukan kecil, dia yang menggerakkan pasukan,” katanya.
Di pentas domestik, Arif Aiman terus memikul tanggungjawab besar sebagai penggerak serangan JDT iaitu satu peranan yang biasanya dipegang pemain berpengalaman, namun kini disandang dengan penuh yakin oleh pemain berusia 23 tahun itu.
Menjelang kempen Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025, Arif Aiman dijangka menjadi harapan utama negara, lebih-lebih lagi jika beberapa pemain warisan tidak dapat diturunkan dalam aksi pembukaan kerana pertindihan dengan kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
sumber:- HM
Dengan kelincahan, visi serta ketajaman dalam serangan, Arif Aiman kini bukan lagi sekadar bintang masa depan, malah dia sedang bersinar membawa nama Malaysia dengan penuh bangga di pentas Asia.