KUALA LUMPUR: Beregu lelaki muda negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King mencipta kejutan apabila menyingkirkan pasangan nombor tujuh dunia dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan untuk melangkah ke pusingan kedua Masters Indonesia, hari ini.
Gandingan ranking ke-20 dunia itu hanya memerlukan tempoh 30 minit bagi mencatat kemenangan ke atas lawan berkenaan 21-17, 21-19 pada aksi pusingan pertama di Istora Senayan, Jakarta.
Kemenangan itu pastinya memberi tonik tambahan kepada Wan Arif-Roy King selepas permulaan musim mengecewakan yang menyaksikan mereka tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia dan pusingan kedua Terbuka India.
Menanti mereka di pusingan kedua, Khamis ini adalah pemenang perlawanan antara beregu berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dengan Chiang Chien Wei-Wu Yi Hsuan dari Taiwan.
Sementara itu, bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mengesahkan tiket ke pusingan 16 terakhir apabila menundukkan gandingan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer 21-13, 23-21.
Pilihan kedua kejohanan itu akan menentang pemenang antara rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dengan Lu Ming Che-Tang Kai Wei dari Taiwan bagi perebutan tiket ke suku akhir.
Terdahulu, dua lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong turut berjaya melepasi halangan pusingan pertama.
Wei Chong-Kai Wun yang mara sehingga separuh akhir Terbuka Malaysia menewaskan pasangan China, Sun Wen Jun-Zhu Yi Ju 21-19, 21-14 manakala Hang Yee-Eng Cheong menundukkan
Rahmat Hidayat-Yeremiah Rambitan dari Indonesia 21-14, 19-21, 21-18 dalam tempoh 58 minit.
Dalam saingan beregu wanita, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing mengejutkan pasanan ranking ke-17 dunia dari Taiwan, Sung Shuo Yun-Yu Cien Hui 21-16, 22-20 pada aksi pusingan pertama.