KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dilihat sudah semakin serasi dengan corak permainan yang diterapkan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi meskipun mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky berkata, Arif-Roy King sebelum ini berdepan kesukaran untuk mengikuti corak permainan Herry berbanding jurulatih terdahulu, Tan Bin Shen.
Namun katanya, gandingan negara yang menduduki ranking ke-23 dunia itu semakin memahami apa yang dimahukan oleh Herry dan harap ia akan dapat diteruskan pada kejohanan seterusnya di Terbuka Jepun bermula esok.
“Sebelum ini mereka agak keliru dengan pertukaran corak latihan daripada Bin Shen ke Herry. Apapun, semua ini adalah satu proses dan mereka juga sudah banyak berbincang dengan Herry untuk lebih memahami apa yang dimahukannya.
“Pada kejohanan terakhir iaitu di Terbuka Indonesia, sudah nampak Arif-Roy King mula memahami apa yang dimahukan oleh Herry,” katanya.
Jelas Rexy, Arif-Roy King mungkin agak lambat untuk memahami corak permainan yang dimahukan oleh Herry berbanding gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
“Tapi sekarang Arif-Roy King sudah mula faham dan nampak tahap keyakinan mereka semakin tinggi,” katanya.
Pada saingan di Terbuka Jepun, Arif-Roy King akan bertemu Wei Chong-Kai Wun yang diletakkan pilihan keenam seawal pusingan pertama.
Sejak mendapat bimbingan Herry yang memulakan tugas bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Februari lalu, Arif-Roy King hanya pernah mara ke separuh akhir sekali iaitu pada Masters Orleans di Perancis, Mac lalu daripada lapan kejohanan disertai.
Situasi itu jelas berbeza dengan dua lagi pasangan negara iaitu bekas juara dunia 2022, Aaron-Wooi Yik dan Wei Chong-Kai Wun yang mencetuskan impak positif bersama Herry.
Aaron-Wooi Yik cemerlang menjulang tiga gelaran pada tahun ini dengan muncul juara Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China diikuti Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura manakala Wei Chong-Kai Wun pula memenangi Masters Indonesia dan Masters Malaysia.