KUALA TERENGGANU: Selepas meledak gol pertamanya musim ini, ‘arkitek’ Terengganu FC (TFC), Marin Pilj mahu mencari jaringan seterusnya malam esok.
Jelas pemain kelahiran Croatia itu, berdepan Sabah FC dalam saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, adalah peluang terbaik untuk membuktikan kemampuannya.
Bagaimanapun pemain berketinggian 1.65 meter itu sedar ia bukan tugas mudah untuk menembusi benteng pertahanan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang diakui ‘kebal’.
“Sabah FC adalah pasukan yang baik dan lengkap di setiap posisi, malah skuad itu juga mempunyai beberapa pemain skuad kebangsaan.
“Saya jangkakan perlawanan yang begitu sukar buat kami, ia pastinya sengit sebelum aksi timbal balik di tempat lawan nanti lebih-lebih lagi beberapa pemain belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
“Namun saya mengharapkan kami mendapat keputusan yang baik apatah lagi beraksi di tempat sendiri, pada masa sama saya juga mahu memburu jaringan seterusnya selepas gol pertama tempoh hari.
“Namun apa yang lebih penting ialah misi wajib menang untuk mengintai peluang mara ke separuh akhir, sekali gus mengulangi pencapaian musim lalu.
“Buat peminat setia, sokongan anda begitu ditagih bagi menyuntik lagi semangat kami ketika beraksi,” kata Pilj.
Pada perlawanan pusingan 16 terakhir sebelum ini, Pilj yang baru di musim pertama beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), menjadi senjata pemusnah apabila jaringannya memastikan TFC mara ke suku akhir selepas membenam cabaran Perak FC 2-1.
sumber:-BH
Musim lalu TFC mara ke separuh akhir saingan Piala FA selepas mengetepikan pasukan jiran, Kelantan FC 4-2 pada aksi suku akhir.