sukan

Awal pagi hari raya lagi saya dah maklum – Norizam Tukiman

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menjelaskan dia hanya dapat mengagihkan RM20,000 sebagai wang pendahuluan memandangkan hanya itu kemampuan yang ada buat dirinya pada masa ini.

Menerusi akaun TikToknya, Norizam menjelaskan wang pendahuluan RM1,000 kepada pemain adalah sebagai komitmen untuk membuktikan bahawa dia tidak lepas tangan dan akan berusaha menyelesaikan tunggakan tiga bulan dihadapi pasukan itu.

Namun dia mengakui kecewa selepas ada pemain yang ingin memboikot dengan tidak menerima wang pendahuluan itu kerana mahu menuntut gaji penuh.

“Berkenaan RM20,000 pembayaran yang saya berikan kepada pemain Kelantan FC, Alhamdulillah dengan jumlah tersebut kita berikan kepada pengurusan dan pemain semua. Kita berikan RM1,000.

“Awal pagi hari raya lagi saya dah maklumkan kepada pemain, cumanya saya terkejut apabila ada yang komen untuk memboikot ramai-ramai dan tidak terima RM1,000 yang saya berikan.

“Maksudnya jom boikot ramai-ramai, tak payah ambil pun duit itu. Saya terkejut, kalau individu tersebut duit banyak mungkin awak tak payahlah ambil (RM1,000).

“Akan tetapi, bagi yang memerlukan, RM1,000 pun besar sebenarnya. Macam sayalah, saya dapat dahulukan RM20,000 pun sebenarnya besar bagi saya.

“Sebab itulah kemampuan yang saya ada untuk memberikan RM20,000 dahulu.

“Tetapi sayangnya, ada yang nak penuh gaji tiga bulan. Saya faham kalian nak gaji penuh, tetapi saya berikan dahulu RM1,000 sebagai pendahuluan, menunjukkan saya ada komitmen dan tidak lari untuk bayar baki gaji,” katanya.

Terdahulu, BH Sukan melaporkan Norizam tetap berusaha menyelesaikan tunggakan gaji tiga bulan yang dihadapi pasukan itu apabila mengambil pendekatan melangsaikan ‘hutang’ itu secara beransur-ansur.

Menerusi satu penjelasan di laman TikToknya, Norizam mengesahkan gaji pemain sudah dibayar beransur-ansur dan beliau optimis isu terbabit akan dapat diselesaikan.

sumber:-BH

“Bagi isu tunggakan gaji, hari ini dapatlah saya masukkan RM1,000 sebagai pendahuluan untuk bayar baki tiga bulan tunggakan sebab esok nak raya,” katanya yang memaklumkan video itu dirakam sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.