sukan

Ayuh pemain ke-12, lupakan boikot

KUALA LUMPUR: Penyokong Harimau Malaya tampak menerima kata-kata pujukan terakhir untuk membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil beberapa jam sebelum aksi menentang Filipina jam 9 malam ini.

Ia susulan laman rasmi FIFA World Cup menerusi platform media sosial mereka termasuk Facebook dan Instagram memuat naik status Harimau Malaya memerlukan sokongan pemain ke-12.

“Harimau Malaya memerlukan sokongan anda lagi dan lagi,” tulis FIFA World Cup di laman Facebook berserta gambar pemain skuad Harimau Malaya dan ciapan sama dibuat di Instagram mereka.

Aksi menentang pasukan ranking ke-147 dunia, Filipina adalah perlawanan pertama Harimau Malaya dalam pertandingan Pestabola Merdeka 2024.

Sekiranya menang, skuad kendalian Pau Marti Vicente akan mara ke final untuk berdepan pemenang satu lagi aksi antara Lubnan dan Tajikistan yang terlebih dahulu akan berlangsung pada jam 4.30 petang ini.

Apa yang menjadi kerisauan ketika ini adalah mengenai kehadiran penyokong ke stadium susulan segelintir daripada mereka terutama kumpulan Ultras Malaya memboikot kejohanan itu.

Ahad lalu, BH Sukan melaporkan tidak sampai 1,000 keping tiket terjual bagi aksi pertama itu.

sumber:-BH

Bagaimanapun, belum ada kemas kini terbaharu daripada Persatuan Bolasepak Malaysia mengenai jumlah tiket yang sudah terjual setakat ini.