KUALA LUMPUR: Datuk Azizulhasni Awang akan memulakan misi memburu satu-satunya gelaran yang masih belum diraih dalam kariernya apabila turun dalam acara keirin Sukan Komanwel, esok.
Pelumba berusia 38 tahun itu akan membuat penampilan terakhirnya di temasya empat tahun sekali berkenaan di Glasgow, dengan menyertai tiga acara – keirin, pecut individu (Sabtu) dan ujian masa satu kilometer (Ahad).
Dia akan membuka kempen dalam acara kegemarannya itu esok, sekali gus memberi peluang untuk beraksi dengan tenaga yang masih segar.
Harapan Azizulhasni untuk meraih emas dalam acara berkenaan turut meningkat selepas pelumba England, Matthew Richardson mengesahkan penarikan diri akibat kecederaan susulan kemalangan di Jepun.
Richardson yang memegang rekod dunia ujian masa 200 meter, dianggap pelumba pecut trek kedua terbaik dunia di belakang pelumba Belanda, Harrie Lavreysen.
Namun jurulatih lama Azizulhasni, John Beasley berkata jaguh negara itu masih perlu berdepan cabaran sengit daripada beberapa pelumba bertaraf dunia di Velodrom Sir Chris Hoy.
Antara pencabar utama adalah Leigh Hoffman dari Australia, bekas juara dunia pecut berpasukan, juara bertahan Nicholas Paul dari Trinidad & Tobago serta bekas rakan sepasukan Azizulhasni, Shah Firdaus Sahrom yang meraih gangsa keirin pada Birmingham 2022.
“Di atas kertas, anda boleh katakan Azizulhasni adalah pilihan utama kerana dia memenangi dua daripada tiga pusingan (keirin) Piala Dunia UCI tahun ini dengan menewaskan Lavreysen dan Richardson,” kata Beasley baru-baru ini.
“Tetapi Hoffman akan menjadi pencabar kuat dan jangan lupakan Nicholas, dia juga bukan pelumba biasa serta pemenang pingat emas keirin Birmingham 2022.
“Tambahan pula Shah dalam kelompok itu, ia akan menjadi saingan yang amat sengit.
“Ia akan berlangsung sengit, semuanya bergantung kepada siapa yang membuat keputusan terbaik. Anda juga memerlukan sedikit tuah ketika undian,” katanya.
Azizulhasni sebelum ini menewaskan Richardson dan Lavreysen untuk meraih emas keirin pada pusingan Piala Dunia di Perth dan Nilai tahun ini.
Pelumba kelahiran Dungun itu sebenarnya pernah mencipta kejayaan 1-2 bersama bekas rakan sepasukan, Josiah Ng pada final keirin Sukan Komanwel Delhi 2010, namun kemudian diturunkan ke tangga keenam kerana kesalahan menunggang secara berbahaya. Pingat emas akhirnya diberikan kepada Josiah.
Azizulhasni kemudian memenangi gangsa keirin pada Sukan Komanwel Glasgow 2014 sebelum menduduki tempat keenam pada final Gold Coast 2018.
Dia tidak beraksi pada Birmingham 2022 kerana masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung terbuka bagi membetulkan masalah anomali arteri koronari yang dialaminya sejak lahir.