KUALA LUMPUR: Penasihat Setiawangsa Rangers FC, Datuk Azril Mat Drus mengakui bersedia mempertimbangkan untuk dicalonkan bagi mana-mana jawatan pada Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), 12 Oktober ini.
Namun, beliau yang juga Penasihat Eksekutif Liga Bolasepak Negara Brunei Darussalam menjelaskan pertimbangan itu hanya dilakukan jika khidmatnya benar-benar diperlukan untuk membantu KLFA menjadi persatuan yang lebih mantap pada masa akan datang.
“Memang ada ahli gabungan yang meminta saya untuk pergi (bertanding) presiden tetapi sekarang, pendirian saya ialah sekiranya saya diperlukan, saya pergi (bertanding) tidak kira posisi apa sekalipun.
“Mungkin ahli gabungan mahukan sesuatu yang baharu dan mereka lihat saya boleh bawa satu perubahan. Kalau saya diperlukan di tempat itu, saya akan pertimbangkan untuk bagi khidmat untuk KLFA.
Keputusan Kabinet 2007 tak benarkan anggota pentadbiran tanding jawatan persatuan sukan kekal
“Apapun pencalonan tidak kiralah presiden, timbalan presiden ataupun EXCO, saya akan pertimbangkan kerana hasrat saya cuma satu iaitu mahu lihat bola sepak Kuala Lumpur terus maju,” katanya.
Terdahulu, Syed Yazid Syed Omar tampak tidak akan menang mudah selepas seorang lagi tokoh tampil untuk merebut jawatan Presiden KLFA pada kongres pemilihan badan induk itu.
Ia susulan Azril dikatakan berminat untuk bertanding bagi ‘kerusi panas’ itu dan pencalonan itu turut mendapat sokongan daripada ahli gabungan yang layak untuk mengundi pada kongres terbabit.
sumber:-BH
Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan perebutan bagi jawatan Presiden KLFA semakin ‘panas’ apabila difahamkan pelakon, pengarah dan penerbit filem terkenal tanah air, Datuk Afdlin Shauki bakal bertanding merebut jawatan itu.