sukan

Badminton: Pengganti Nova masih dirahsiakan

KUALA LUMPUR: Siapa bakal mengisi kerusi ketua jurulatih beregu campuran negara masih menjadi teka-teki apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) belum membuat keputusan muktamad selepas pemergian Nova Widianto.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky berkata, beberapa nama tempatan masih berada dalam radar BAM termasuk Tan Bin Shen, Jeremy Gan, Yap Kim Hock dan Lee Wan Wah.

Bagaimanapun, katanya, keputusan hanya akan dibuat selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.

“Ya, kita banyak pilihan tempatan. Kita masih ada Bin Shen, Jeremy, Kim Hock dan masih ada banyak nama.

“Wan Wah juga ada, kita kemungkinan boleh, tetapi kalau untuk sekarang Wan Wah beliau sudah bersama (Jepun) sehingga 2028, Jeremy sampai 2028 dengan Hong Kong. Jadi kita tidak tahu,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Rexy berkata, BAM perlu meneliti situasi itu dengan sebaiknya kerana sebahagian calon berpengalaman kini masih terikat dengan tugasan bersama pasukan luar negara.

Bin Shen dan Jeremy kini bersama pasukan Hong Kong, manakala Wan Wah mengendalikan skuad beregu lelaki Jepun.

Kim Hock pula bertugas di Akademi Badminton Zhengzhou, China.

Sementara itu, BAM sudah mengambil langkah awal bagi memastikan kekosongan selepas Nova meninggalkan badan induk itu pada 31 Julai lalu tidak menjejaskan persiapan skuad.

Teo Kok Siang kini menjalankan tugas sebagai jurulatih beregu campuran dan sudah mengiringi gandingan Chen Tang Jie-Cheng Su Yin ke Masters China yang sedang berlangsung minggu ini.

Rexy berkata, Kok Siang secara rasmi memulakan tugas pada 1 September, namun sudah berada di China sejak 26 Ogos bagi mengendalikan Tang Jie dan Su Yin.

“Dia memang secara rasmi (mula tugas) 1 September, tetapi 26 Ogos dia sudah mula di sini kerana dia perlu mengiringi Tang Jie dengan Su Yin di Masters China,” katanya.

Nova secara rasmi menamatkan perkhidmatannya bersama BAM pada 31 Julai 2026 selepas berkhidmat sejak Januari 2023.

Beliau menerima tawaran rasmi untuk menyertai semula Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) sebagai Ketua Jurulatih Teknik bagi sektor beregu campuran di Pelatnas Cipayung.