sukan

Badrul Afzan sedia sahut cabaran TFC

KUALA TERENGGANU: Pengendali sementara Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali sedia menduduki ‘kerusi panas’ selaku ketua jurulatih skuad itu jika diberi kepercayaan pihak pengurusan.

Jurulatih berusia 48 tahun itu berkata, pengalaman yang dimiliki ketika menjadi penolong ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner sebelum ini memberi pengalaman berharga buatnya.

Bagaimanapun bekas pemain tengah Terengganu, Kelantan, Kedah, Pahang dan Johor FC itu menyerahkan kepada pihak pengurusan kelab untuk membuat keputusan berhubung perkara berkenaan.

“Insya-Allah jika diberi kepercayaan dan peluang untuk membimbing TFC, dengan pengalaman yang ada sebagai pemain dan jurulatih, saya akan berusaha lakukan yang terbaik buat pasukan.

“Namun ia terserah kepada pengurusan kelab untuk membuat keputusan berhubung perkara ini, tetapi saya sudah bersedia untuk memikul amanah,” ujarnya bersama Hairuddin Omar memangku tugas sebagai ketua jurulatih sementara TFC.

Terdahulu atas persetujuan bersama dengan majikannya, Steinbruckner yang mula membimbing TFC sejak musim lalu melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih selepas keputusan tidak konsisten yang diraih TFC sejak kebelakangan ini.

sumber:-BH

Dalam pada itu jurulatih kelahiran Kemaman itu akan melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utama berdepan PDRM FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.