KUALA TERENGGANU: Walaupun berpuas hati dengan penampilan pertama tonggak import, ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali akui masih banyak yang perlu diperbaiki.
Jelas jurulatih berusia 49 tahun itu, faktor keserasian menjadi salah satu agenda utamanya dalam memperkemaskan lagi pasukannya menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula 8 Ogos depan.
Tambahnya, faktor ketajaman di jentera serangan serta penguasaan bola juga turut menjadi fokus utamanya dalam membentuk pasukan yang benar-benar mantap musim baharu ini.
“Majoriti pemain import baru lagi bersama pasukan kurang dua minggu lalu, namun mereka telah menunjukkan komitmen tinggi dan semangat untuk segera menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan.
“Sejujurnya saya berpuas hati dengan penampilan sulung mereka khususnya dari segi kesungguhan dan keinginan untuk membantu pasukan mencari kemenangan,” ujar Badrul Afzan selepas aksi persahabatan menentang Penang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.
Pada aksi persahabatan kedua itu, skuad Penyu melakar kemenangan 3-1 hasil jaringan Safwan Mazlan, Khalaf Naskam dan import baharu, Yann Mabella manakala gol saguhati skuad Harimau Kumbang hasil jaringan bekas pemain import TFC, Tchetche Kipre.
Pada perlawanan itu, TFC mencuba semua pemain import pada babak kedua perlawanan.
Mengulas lanjut, jurulatih kelahiran Kemaman itu akui ada beberapa aspek kelemahan berjaya dikesan dan perlu diperbaiki.
“Beberapa posisi masih perlu diperkemaskan lagi terutama di bahagian tengah dan pertahanan, tapi mereka positif.
“Kami juga sedang menunggu kehadiran seorang lagi pemain import di posisi pertahanan. Jika semuanya berjalan lancar, slot kuota bebas itu akan melengkapkan pasukan kita sepenuhnya,” katanya.
sumber:- HM
Selepas ini TFC dijadualkan meneruskan aksi pra musim di Lembah Klang pada minggu depan.