sukan

Badrul tuntut jentera serangan lebih ‘bernafsu’

KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali menuntut jentera serangan pasukannya lebih ‘bernafsu’ dalam misi untuk memburu tiga mata pada aksi kelima Liga Super malam esok.

TFC yang kini menghuni di tangga ketiga liga pada tujuh mata, bakal melayan kunjungan pendatang baharu, Melaka FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Badrul berkata, misi tiga mata bagi memastikan pasukan tidak tergelincir di kedudukan lebih bawah perlu direalisasikan anak buahnya walaupun keputusan perlawanan sukar dijangka.

“Berdasarkan pertemuan dengan Imigresen FC tempoh hari, saya berpuas hati dengan corak permainan pemain yang mengamalkan gerakan pantas untuk memburu jaringan awal.

“Jadi pertemuan dengan Melaka FC, tiada rombakan besar dalam pasukan, tapi saya harap pemain kekal cegas dalam misi mengutip tiga mata lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri.

“Pada masa sama saya harapkan pemain kekal fokus selain membawa kejayaan layak ke suku akhir Piala FA sebagai pembakar semangat buat mereka untuk tampil lebih bertenaga.

“Buat barisan penyerang, saya tuntut mereka lebih agresif serta tidak melepaskan peluang terhidang dengan jaringan kerana hasil analisis aksi terdahulu, banyak peluang yang sepatutnya mampu menghasilkan jaringan gagal diterjemahkan dengan baik,” kata Badrul.

Ketika ditanya berkenaan penyerang utamanya, Yann Mabella yang sebelum ini belum cergas sepenuhnya, Badrul lega kerana pemain kelahiran Perancis itu sedia untuk diturunkan.

“Selain Yann, semua pemain juga bebas daripada sebarang kecederaan, situasi ini membuka ruang seluasnya untuk saya menurunkan skuad pilihan,” katanya.

Selepas empat perlawanan liga, TFC mengumpul 12 jaringan hasil kemenangan 3-0 ke atas Penang FC, terikat 2-2 dengan PDRM FC, menang 5-0 ke atas kelab Brunei DPMM FC sebelum tewas 5-2 kepada Selangor FC.