sukan

Bahang musim baru kian terasa – Aaron Chia

Aaron Chia mengakui persaingan dalam acara beregu lelaki kini semakin seimbang di peringkat antarabangsa sekali gus menjangkakan cabaran lebih getir bakal diharunginya tahun depan.

Pemain yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik itu berkata, peningkatan pantas yang ditampilkan beberapa beregu dari negara lain yang sebelum ini kurang menonjol kini mula memberi impak besar terhadap landskap badminton dunia.

Menurutnya, beregu dari Perancis, England, Denmark, India, Taiwan dan Indonesia antara yang menunjukkan lonjakan prestasi ketara.

“Beregu lelaki sentiasa mencabar kerana sentiasa ada pemain berkualiti, tidak kira dari negara mana. Jika dilihat lima kategori – beregu lelaki, beregu wanita, beregu campuran, perseorangan lelaki dan perseorangan wanita – bagi saya beregu lelaki kini paling kompetitif kerana tahapnya semakin seimbang.

“Jangan bandingkan dengan dahulu kerana ketika itu ada negara yang belum begitu kuat. Maksud saya, negara yang sebelum ini kurang menonjol kini sudah meningkat, dan dalam masa sama negara yang kuat juga terus berkembang.

“Mungkin tahap peningkatan mereka lebih cepat. Kita juga sedang meningkat, tetapi mereka ada kelebihan tertentu yang membolehkan mereka melonjak lebih pantas untuk mengejar. Sebab itu, ketika ini persaingan beregu lelaki dilihat sangat seimbang,” katanya.

Situasi berkenaan dijangka menjadikan saingan beregu lelaki lebih sengit sekali gus menuntut tahap konsistensi dan persiapan rapi daripada beregu negara bagi terus kekal kompetitif di peringkat tertinggi dunia.

Aaron-Wooi Yik dijadual membuka tirai 2026 di Terbuka Malaysia yang berstatus Super 1000 di Axiata Arena dari 7 hingga 12 Januari ini.

Kali terakhir beregu lelaki negara memenangi kejuaraan di laman sendiri itu menerusi Goh V Shem-Lim Khim Wah pada 2014.