sukan

Bakat muda Malaysia diuji di bumi kanggaru

Kuala Lumpur: Satu sejarah baharu bakal dicatat apabila skuad remaja bawah 15 tahun negara akan menyertai Kejohanan Emerging Matildas dan Emerging Socceroos 2025 anjuran Persatuan Bolasepak Australia, sekali gus menjadi pasukan antarabangsa pertama dijemput ke kejohanan berprestij itu.

Penyertaan itu menyusul selepas Malaysia mengesahkan minat secara rasmi menerusi proses Penyerahan Minat (EOI) kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum di pilih menyertai kedua-dua kejohanan elit berkenaan.

Ia dianggap langkah berani dan tepat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam usaha memperkasakan program pembangunan akar umbi negara serta memperluas kerjasama strategik di peringkat rantau Asia-Pasifik.

Berdasarkan perancangan, kejohanan akan berlangsung di dua lokasi utama membabitkan Valentine Sports Park, Sydney dan Home of the Matildas di Universiti La Trobe, Melbourne bermula Julai tahun depan.

Skuad bawah 15 tahun negara dijangka bakal menguji kemampuan menentang barisan pemain remaja terbaik Australia dalam suasana kompetitif dan berintensiti tinggi.

Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menyifatkan penyertaan ini sebagai satu lonjakan besar dalam usaha memberi pendedahan antarabangsa kepada bakat muda negara.

“Ini bukan sekadar kejohanan. Ia adalah platform penting untuk menimba pengalaman sebenar dan membina asas bola sepak masa depan Malaysia,” katanya.

Joehari berkata, penyertaan ini membuktikan komitmen FAM terhadap pembangunan berterusan di semua peringkat umur termasuk jurulatih dan pegawai teknikal.

Beliau turut menegaskan hubungan bola sepak antara Malaysia dan Australia bukan hanya membabitkan aksi di padang, tetapi merangkumi pertukaran ilmu dan kerjasama teknikal yang lebih menyeluruh.

“Peluang ini bukan selalu datang. Kami yakin ia mampu membuka ruang kerjasama jangka panjang antara kedua-dua badan induk bola sepak,” katanya.

Langkah itu juga seiring dengan misi FAM untuk membina laluan pembangunan lebih mampan dari akar umbi hingga ke peringkat elit antarabangsa.

sumber:- HM

Kejohanan ini turut dianggap antara platform terbaik rantau Asia untuk menilai sejauh mana persediaan Malaysia dalam menghasilkan generasi pemain pelapis yang mampu bersaing secara global.