sukan

BAM masih berteka-teki

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih berteka-teki mengenai persoalan membabitkan penstrukturan semula barisan kejurulatihannya.

Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam ketika diminta mengulas mengenai perkembangan berkenaan selepas selesai satu mesyuarat membabitkan pengurusan dan jurulatih badan induk itu, semalam menyatakan ia hanya mesyuarat biasa.

Sebelum ini, timbul persoalan membabitkan penstrukturan barisan kejurulatihan di BAM selepas persatuan itu mengeluarkan iklan jawatan kosong bagi posisi jurulatih perseorangan lelaki pada Mei lalu.

“Dalam mesyuarat hari ini, kita membincangkan banyak isu daripada A sehingga Z. Dan tiada jawapan konkrit diperoleh setakat ini,” kata Subramaniam.

Ketika ditanya kemungkinan akan ada jurulatih baharu akan menyertai badan induk itu selepas ini, Subramaniam, berkata: “Mungkin ada, mungkin tiada.

“Pada mesyuarat ini, kami membincangkan daripada semua sudut. Perkara ini (membabitkan jurulatih) bukan keputusan yang kami boleh ambil sesuka hati. Kami akan membincangkan bersama apa yang terbaik untuk BAM.

“Perkara ini (perbincangan) adalah biasa dan ia bukan saja mengenai penstrukturan semula, dan ia juga tidak hanya membabitkan jurulatih. Apabila masanya (kontrak tamat) sampai, kami perlu lihat dan kaji kembali,” katanya.

Begitupun, Subramaniam mengakui ada ada lima atau enam jurulatih di ABM yang kontraknya akan berakhir pada tahun ini dan badan induk itu sedang menelitinya.

“Ada yang nak sambung, ada juga yang nak tunggu apa keputusan kita dan ia masih dibincangkan. Tetapi perubahan hanya akan membabitkan jurulatih yang kontrak mereka akan tamat pada tahun ini,” katanya.

sumber:-BH

Berdasarkan rekod, ketiga-tiga kontrak jurulatih yang ditugaskan membimbing perseorangan lelaki iaitu Hendrawan, Datuk Tey Seu Bock dan James Chua berakhir pada tahun ini.