sukan

BAM sahkan Pei Kee hantar surat peletakan jawatan

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan ada menerima surat peletakan jawatan daripada pemain beregu wanita negara, Goh Pei Kee, baru-baru ini.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, bagaimanapun pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan sama ada menerima atau menolak permohonan yang dikemukakan pemain berkenaan.

“Kita belum buat sebarang keputusan rasmi berhubung peletakan jawatan Pei Kee. Saya difahamkan Datuk Seri Lee Chong Wei nak jumpa pemain itu selepas ini.

“Jadi kita akan tunggu perjumpaan itu dulu sebelum buat apa-apa keputusan berhubung perkara berkenaan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Semalam, Chong Wei yang juga Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM berhasrat mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Pei Kee bagi memujuk pemain itu menimbang semula keputusannya selepas didakwa mahu meninggalkan skuad kebangsaan.

Chong Wei berkata, buat masa ini beliau memberi ruang kepada pemain berusia 24 tahun itu untuk bertenang sebelum merancang pertemuan secara peribadi selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Pei Kee difahamkan pulang ke rumah keluarganya di Johor dan tidak lagi menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di ABM.

Sebelum ini, hasrat Pei Kee untuk meninggalkan skuad kebangsaan tular di media sosial selepas dia menyuarakan keinginan untuk berpisah dengan pasangannya, Teoh Mei Xing.

Sepanjang bergandingan, pasangan itu pernah mencapai ranking terbaik dunia di kedudukan ke-18 selain muncul juara kejohanan Malaysia Super 100 pada 2024.