KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan berani apabila mensasarkan membawa pulang empat daripada tujuh pingat emas yang ditawarkan pada Sukan SEA 2025 di Bangkok.
Presidennya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, fokus utama kali ini bukan sekadar mengumpul pingat, sebaliknya memastikan badminton menyumbang impak besar kepada pencapaian keseluruhan kontinjen Malaysia.
“Sasaran kita ialah tujuh pingat untuk sukan badminton. Sasaran pingat emas pula adalah empat pingat dan kita akan memberikan sepenuh fokus terhadap usaha untuk mendapatkan emas itu.
“Kita juga sudah berbincang dengan menteri dan pihak pengurusan, dan ini adalah keputusan bersama. Saya percaya barisan jurulatih juga sependapat. Jadi kita perlu memberikan yang terbaik untuk negara.
“Dan perlu ingat, Malaysia bukan satu-satunya negara yang menurunkan barisan terbaik. Negara lain pun bawa pasukan terhebat mereka. Harapnya ia membantu kita mencapai sasaran keseluruhan pingat,” katanya pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad badminton negara, hari ini.
Mengulas siapa yang menjadi tumpuan utama untuk membawa pulang emas, Tengku Zafrul menyerahkan sepenuhnya kepada kepakaran barisan kejurulatihan.
“Itu saya rasa pihak kejurulatihan lebih arif. Jurulatih lebih tahu keadaan semasa pemain. Tapi kalau tengok ranking dan prestasi setahun kebelakangan ini, sudah tentu harapan datang daripada beregu campuran, beregu lelaki, beregu wanita dan acara berpasukan lelaki.
“Saya rasa berdasarkan ranking dan prestasi, memang di keempat-empat acara itu tumpuan kita,” katanya.
Pemain yang dianggap memiliki potensi untuk menyumbangkan kilauan pingat emas itu adalah beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Chen Tang Jie-Ee Wei (beregu campuran) dan berpasukan lelaki.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky menyifatkan sasaran empat emas itu adalah realistik.
“Pada awalnya untuk acara berpasukan, sasaran kita sebenarnya bukan emas. Sebab kita jangka Indonesia akan turunkan pasukan kuat dan kemudian Thailand pula sebagai tuan rumah.
“Tapi apabila mereka umumkan senarai pemain, saya bukan kata kita mudah menang ke atas Indonesia, tetapi kita perlu realistik. Kita lihat Aaron (Chia) dan (Soh) Wooi Yik ranking nombor dua (dunia), dan Man (Wei Chong) serta (Tee) Kai Wun pula ranking nombor lima. Dari segi rekod pertemuan pun mereka boleh mengatasi dua beregu Indonesia.
“Kemudian kita juga perlu realistik mengenai perseorangan kedua dan ketiga. Jadi kita hanya perlukan satu kemenangan daripada dua pemain perseorangan. Jadi saya boleh katakan sasaran empat emas itu realistik,” katanya.