sukan

BAM umum senarai pemain buru emas Sukan SEA Thailand

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi isyarat jelas betapa mereka serius memburu pingat emas pada Sukan SEA Thailand dari 9 hingga 20 Disember depan apabila menurunkan barisan pemain terkuat bagi menghadapi temasya dwitahunan berkenaan.

Dalam senarai pemain diumum BAM, hari ini, juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan mengetuai cabaran negara bagi memburu emas, selain gandingan ranking ke-19 dunia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, yang turut menjadi sandaran dalam acara sama.

Kem beregu lelaki pula diterajui bekas juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, bersama pasangan ranking kelapan dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun bagi meningkatkan peluang Malaysia merangkul emas.

Bagi skuad wanita, naib juara dunia di Paris, Pearly Tan-M Thinaah, akan mengetuai cabaran beregu wanita selain gandinan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing.

Dalam acara perseorangan, Leong Jun Hao yang menduduki ranking ke-20 dunia dan Justin Hoh (36) akan menjadi taruhan utama dalam kategori lelaki, manakala K Letshanaa (38) serta Wong Ling Ching (70) menggalas cabaran perseorangan wanita.

“Pasukan ini adalah kombinasi pemain berpengalaman dan bakat muda yang akan menggakas cabaran dalam acara berpasukan dan individu,” kata kenyataan dikeluarkan BAM.