MALAYSIA bermula dengan langkah kiri apabila tewas 1-3 kepada Hong Kong dalam aksi pembuka tirai Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di China sebentar tadi.
Biarpun Man Wei Chong-Tee Kai Wun turun beraksi ketika ini dalam acara terakhir beregu lelaki, namun sebarang keputusan tidak mengubah kedudukan negara dalam saingan Kumpulan B itu.
Beregu wanita, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang menjadi sandaran negara untuk kembali mengikat Hong Kong tidak kesampaian.
Terdahulu beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang turun membuka gelanggang dan perseorangan lelaki, Justin Hoh tewas kepada lawan masing-masing.
Malaysia setakat ini meraih satu mata menerusi pemain perseorangan wanita, K Letshanaa yang menumpaskan Saloni Samirbhai Mehta 21-18, 21-18.
Pei Kee-Mei Xing terpaksa akur apabila tewas kepada Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam dalam aksi di Pusat Sukan Qingdao Conson.
Pasangan ke-48 dunia itu tewas pada set pertama 17-21, namun cuba bangkit memperkemaskan corak permainan dalam saingan berikutnya.
Bagaimanapun tentangan sengit yang diperagakan Pei Kee-Mei Xing belum cukup untuk mematahkan kemaraan Nga Ting-Pui Lam yang mengesahkan kemenangan 21-14 dalam masa 50 minit permainan.
Peluang Malaysia untuk melangkah ke saingan suku akhir kian sukar apabila wajib mengalahkan Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan pada Khamis.
sumber:-SH
Sebagai rekod, kem badminton negara tidak pernah melepasi peringkat kumpulan sejak kejohanan tersebut mula dipertandingkan pada 2017.