PETALING JAYA: Pengendali Bangkok United, Totchtawan Sripan menjangkakan anak buahnya akan berdepan cabaran sengit dari Selangor FC (SFC) pada aksi pembukaan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), esok.
Jelasnya, beliau melihat skuad The Red Giants semakin berkembang menjadi pasukan yang lebih baik sekali gus bakal menjadi lawan yang sukar untuk anak buahnya pada aksi yang berlangsung di tempat lawan itu.
Justeru, barisan kejurulatihan Bangkok United melakukan ‘siasatan’ dalam merangka persiapan yang mantap bagi memastikan tiga mata pertama dapat dibawa pulang ke Bangkok.
“SFC begitu berkembang selepas menyertai ACL2 dan mereka kini adalah pasukan yang baik dengan standard yang lebih tinggi. Mereka ada pemain dengan kualiti dan teknikal yang baik.
“Kita sudah menganalisis SFC daripada pelbagai aspek dan sudah tentu mereka akan menjadi lawan yang sukar.
“Tetapi pasukan saya sudah bersedia sepenuhnya, jadi saya mengharapkan perlawanan esok akan menjadi aksi yang terbaik dan menarik,” katanya.
Sebagai rekod, naib juara Liga 1 Thailand musim lalu itu mendapat tiket untuk bersaing di ACL2 selepas tewas pada peringkat ‘play-off’ kelayakan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di tangan Chengdu Rongchen.
Sementara itu, pemain Bangkok United, Phillipe Maia menjelaskan rakan sepasukannya masih menyesuaikan diri dengan situasi padang namun ia bukan alasan untuk mereka tidak dapat memberikan persembahan terbaik.
“Kita tiba di sini dan sedang menyesuaikan diri dengan permukaan padang yang tidak biasa buat kami. Tetapi kami akan berusaha keras untuk mendapatkan tiga mata.
“Kami tahu cara mereka bermain dan jurulatih turut berkongsi maklumat mengenai SFC. Kami akan merebut setiap bola dan fokus untuk pulang dengan keputusan positif,” katanya.