KUALA TERENGGANU: Bekas pemain Sri Pahang FC, Baqiuddin Shamsudin sah memperkuatkan Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.
Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, pemain sayap berusia 30 tahun itu diikat selama semusim sehingga tamat saingan Liga M.
Jelas Mohd Syahrizan, pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang yang pernah menyarung jersi pasukan UKM FC, Shahzan Muda dan PDRM FC itu adalah pemain baharu pertama menandatangani kontrak dengan menyarung jersi bernombor 77.
“Pemain berketinggian 1.65 meter itu diikat kontrak selama semusim sehingga berakhirnya saingan Liga M pada musim baharu ini.
“Kehadiran Baqiuddin sudah pasti mampu memberikan lebih pilihan untuk variasikan corak serangan pasukan memandangkan pemain ini beraksi di posisi sayap selain mempunyai kualiti dari segi kelincahan bersama bola serta seorang pemain yang memiliki kelajuan yang baik.
“Pemain itu bakal menjalani latihan pertama bawah kendalian ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali bermula 1 Julai ini,” kata Mohd Syahrizan menerusi kenyataan media rasmi kelab itu hari ini.
sumber:- BH
Selain Baqiuddin, seorang lagi bekas pemain Tok Gajah, Saiful Jamaluddin yang beraksi di posisi tengah bertahan difahamkan juga akan menandatangani kontrak dengan TFC tidak lama lagi.