BARCELONA: Pengendali Barcelona, Hansi Flick berkata, kemenangan 4-1 ke atas Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah meningkatkan keyakinan anak buahnya menjelang aksi Clasico menentang Real Madrid, Sabtu ini.
Bekas bos Bayern, Flick gembira dapat membantu Barca menamatkan kemarau kemenangan ke atas kelab Jerman itu.
“Kemenangan ini sukar dipercayai. Bayern pasukan yang bagus, dengan pemain-pemain hebat yang tahu bermain dengan sangat baik, anda mahu melihat mereka beraksi.
“Sudah tentu kemenangan seperti ini perlu diraikan. Ia memberikan keyakinan terhadap kualiti kami menjelang perlawanan Sabtu ini.
“Apa yang ditunjukkan pasukan ini membuktikan yang anda boleh mencapai kejayaan besar. Kami bermain dengan sangat berani, sebab itu saya cukup gembira
“Kami mempunyai masa kurang sehari berbanding Real Madrid untuk membuat persiapan bagi menghadapi Clasico, tetapi semua pemain mahu beraksi. Kami akan bersedia,” kata Flick.
Selepas tewas enam kali berturut-turut – dengan Barcelona dibolosi 22 gol berbanding hanya empat untuk Bayern, termasuk kekalahan 8-2 di suku akhir Liga Juara-Juara empat tahun lalu – kelab gergasi Sepanyol itu tampil lebih garang kali ini.
Raphinha meledak hatrik untuk memastikan kemenangan Barcelona di Stadium Lluis Companys Olympic, dengan bekas penyerang Bayern, Robert Lewandowski menyumbang satu gol.
sumber:-BH
Bayern meledak gol tunggal menerusi Harry Kane. – REUTERS