sukan

Bekal 4 gol belum buat JDT selesa

JOHOR BAHRU: Meskipun langkah ke pentas final tampak semakin menjadi kenyataan namun Johor Darul Ta’zim (JDT) enggan berada dalam keadaaan selesa apabila berdepan Terengganu FC (TFC) dalam aksi timbal balik separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, petang esok.

Malah ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio tampak enggan menganggap kemenangan 4-0 ke atas skuad kendalian Badrul Afzan Razali pada aksi separuh akhir pertama di Gong Badak pada 17 Januari lalu sudah mencukupi.

Sebaliknya pengendali kelahiran Argentina menuntut para pemain yang bakal diturunkan beraksi dengan lebih dinamik dan berintensiti tinggi berbanding ketika hanya menang 1-0 pada aksi Liga Super, Sabtu lalu yang jelas mereka bermain di bawah keupayaan sebenar.

“Itu bukan kualiti sebenar JDT beraksi apabila hampir terperangkap dengan taktik permainan Terengganu yang cuba ambil kesempatan menerusi serangan balas yang bagi saya mampu menidakkan kemenangan kami pada aksi liga.

“Oleh itu pada aksi separuh akhir kedua yang menjadi penentu untuk mara ke final, kami harus lebih agresif dan juga perlu berwaspada kerana kelebihan empat gol ke atas lawan bukanlah jaminan sebaliknya kami perlu merangka taktikal yang lebih ampuh bagi menghasilkan gol untuk jaminan ke pentas final.

“Apa yang saya inginkan katakan dalam sukan bola sepak pelbagai kemungkinan boleh berlaku, jadi saya perlu ingatkan pemain supaya tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang kita capai dan sentiasa fokus kepada diri sendiri dan memperagakan aksi terbaik sepanjang 90 minit permainan,” katanya.

Bidoglio juga menuntut barisan serangan yang bakal diturunkan sama ada Bergson Da Silva, Arif Aiman Hanapi, Heberty Fernandes atau Romel Morales mempamerkan aksi lebih jitu dan tidak mempersia-siakan peluang terhidang menjaringkan gol tatkala beraksi di depan penyokong JDT.

Malah beliau juga mengingatkan benteng pertahanan supaya pantas menangani gerakan serang balas barisan pemain TFC yang akan mengambil kesempatan untuk memberi tekanan bagi mencari jaringan dalam perlawanan itu nanti.

sumber:-BH

“Walaupun ada baki 90 minit lagi perlawanan, apa yang boleh saya rumuskan aksi menentang Terengganu tetap sukar dan kelebihan empat gol yang dimiliki harus dipertahankan dan berusaha menyekat setiap gerakan pasukan lawan dan elak daripada melakukan kesilapan,” kata Bidoglio.