Kesilapan dalam melakukan perancangan dan pengurusan pasukan menjadi faktor di sebalik kegagalan skuad olahraga negara memenangi pingat di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Perkara itu disuarakan bekas atlet negara, Mohamad Zaiful Zainal Abidin yang menyifatkan kesilapan paling ketara ialah atlet didedahkan kepada terlalu banyak pertandingan sebelum temasya utama sehingga berisiko menjejaskan tahap kecergasan dan prestasi ketika pertandingan.
Jelasnya, beliau turut melihat MA terlalu ghairah menghantar atlet ke kejohanan luar negara dan mempersoalkan apakah objektif sebenar yang ingin dicapai badan induk itu atau sekadar berpuas hati apabila atlet muncul juara di kejohanan berkenaan berbanding temasya terbesar di Asia itu.
“Contohnya, sebelum Sukan Asia, atlet kita pergi terlalu banyak pertandingan. Sudah layak pun masih perlu pergi pertandingan lain untuk membuktikan sesuatu. Pergi Oman (Grand Prix Muscat), China (Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 Tahun) dan banyak lagi. Persoalannya, bila atlet ini hendak berehat dan memuncakkan prestasi untuk kejohanan utama?
“Kalau kita tahu Sukan Asia adalah sasaran utama, dua atau tiga bulan sebelum itu sepatutnya pertandingan dikurangkan. Kita perlu bina prestasi dan pastikan atlet sampai pada tahap terbaik ketika temasya berlangsung,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Zaiful, pendekatan pelari Thailand, Puripol Boonson yang tidak terlalu kerap beraksi sebelum temasya sebaliknya memberi tumpuan kepada latihan wajar dijadikan contoh, berbanding Azeem Fahmi yang mencatat 10.17 saat (s) di China sebelum Sukan Asia tetapi didakwa terjejas akibat perancangan pertandingan yang terlalu padat.
“Bila Azeem buat 10.17s (saringan awal 100m Sukan Asia), kita nampak keyakinannya ada. Tetapi selepas itu kita lihat kakinya berbalut (separuh akhir) dan akhirnya dia mengalami kekejangan ketika final. Sebagai bekas atlet, kita tahu perkara seperti itu boleh berlaku, tetapi kita perlu tanya kenapa dia sampai ke tahap itu ketika pertandingan paling penting,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan keputusan menukar jurulatih pelari 400 meter (m), Umar Osman dalam tempoh yang singkat sebelum Sukan Asia kerana proses menyesuaikan diri dengan program dan persekitaran baharu boleh mengambil masa.
“Umar sebelum ini sudah lama berlatih dengan jurulatihnya dan kemudian bertukar kepada jurulatih lain beberapa bulan sebelum Sukan Asia. Atlet perlukan masa untuk menyesuaikan diri. Kita perlu fikir sama ada keputusan itu benar-benar membantu atau sebaliknya kerana berdasarkan prestasi, Umar patut boleh tampil dengan lebih baik dalam acara 400m,” katanya.
Dalam pada itu, bekas pemegang rekod 400m negara itu turut mempersoalkan beberapa keputusan pemilihan dan penggunaan atlet, termasuk penyertaan pelari acara 110m lari berpagar, Armin Zahryl Abd Latif dalam acara 4x100m lelaki sedangkan fokus utamanya adalah acara individu.
“Kenapa Armin perlu berlari 4x100m? Kita ada atlet 100m, 200m dan 400m yang lain. Armin patut diberi fokus kepada 110m lari berpagar kerana itu acara utamanya. Pada zaman saya, saya tidak pernah melihat Nur Herman Majid berlari 4x100m untuk pasukan Malaysia. Begitu juga Robani Hassan. Mereka ada acara khusus masing-masing dan kita tidak campur-adukkan fokus mereka. Jadi, saya persoalkan kenapa perkara itu berlaku kepada Armin,” katanya yang turut mempersoalkan kenapa jurulatih Armin tidak dibawa bersama.
Justeru, menjelang Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia, Zaiful berharap MA berani melakukan penilaian menyeluruh terhadap sistem perancangan, pemilihan atlet, pengurusan pertandingan serta barisan kejurulatihan supaya kesilapan sama tidak berulang.
“Kita tidak perlu malu untuk belajar daripada Thailand. Kita boleh tengok bagaimana mereka merancang untuk atlet. Sains sukan pun sudah banyak membantu dan Institut Sukan Negara (ISN) serta Majlis Sukan Negara (MSN) mempunyai data yang boleh dirujuk. MA perlu memainkan peranan. Jangan hanya fikir atlet bagus mesti dihantar ke semua pertandingan. Kita perlu tahu bila hendak bertanding dan bila hendak berehat. Atlet ini manusia, bukan mesin yang boleh sentiasa mencatat prestasi terbaik,” katanya.