sukan

Bekas bintang Real Madrid ke JDT

KUALA LUMPUR: Gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan bekas pemain Real Madrid, Jese Rodriguez sebagai rekrut terbaharu kelab itu.

Pengumuman itu dibuat JDT menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, hari ini.

Video berkenaan memaparkan pemain berusia 31 tahun itu bakal menyarung jersi bernombor 33 skuad Harimau Selatan.

“Dia bermain di kelab besar dan semuanya divisyen teratas. Juara dua kali Liga Juara-Juara Eropah kini keluarga JDT,” tulis kelab itu pada kapsyen video berkenaan.

Terdahulu, media Sepanyol, Marca melaporkan Rodriguez dalam ‘perjalanan’ untuk menyertai JDT.

Penyerang itu sebelum ini pernah beraksi bersama Real Madrid dari 2011 hingga 2016 bersama beberapa bintang terkenal seperti Cristiano Ronaldo, Pepe, Gareth Bale dan ramai lagi dengan meledak 13 gol daripada 63 penampilan.

JDT menjadi kelab ke-10 Rodriguez selepas sebelum ini turut pernah bermain bersama beberapa kelab termasuk Paris St Germain, Sampdoria, Stoke City dan Real Betis.

Skuad bimbingan Hector Bidoglio sebelum ini sudah menandatangani beberapa pemain import baharu termasuk Iker Undabarrena, Jorge Obregon dan Enzo Lombardo.

sumber:-BH

Harimau Selatan mempamerkan prestasi memberansangkan dalam dua aksi awal Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas terikat 2-2 dengan Shanghai Port FC di gelanggang lawan sebelum mengatasi Shanghai Shenhua FC 3-0 di tempat sendiri.