sukan

bekas pemenang Kasut Emas Liga Super jadi pilihan

SEREMBAN: Pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, P Maniam teruja dengan kehadiran bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC dari Nigeria, Ifedayo Olusegun, ke dalam pasukan itu bagi menghadapi kancah saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025, bulan depan.

Menurut pengendali berpengalaman itu, Ifedayo yang juga pemenang Kasut Emas Liga Super pada tahun 2020 dan 2021, adalah seorang pemain berprestasi tinggi dan sudah menunjukkan rekod persembahan yang baik dalam liga.

“Ifedayo baru seminggu menandatangani kontrak dan sememangnya dia seorang pemain yang bagus dan menunjukkan prestasi yang baik sepanjang pembabitan dalam Liga M terutama ketika bersama Kedah musim lalu.

“Dia akan menyertai Bruno Suzuki, Faith Obilor, Chidi Osuchukwu, Aremu Timothy dan Prince Aggreh sebagai tenaga import PDRM musim ini,” kata Maniam.

Menurut Maniam, persiapan membentuk pasukan mantap dilihat berjalan lancar dengan setiap pemain menunjukkan komitmen tinggi dalam latihan.

Malah beliau juga sudah mendapat bayangan terhadap barisan kesebelasan utama pasukan itu, walaupun sekadar mengadakan dua aksi persahabatan pramusim setakat ini.

“Setakat ini, saya sudah mendapatkan gambaran awal berkenaan kesebelasan utama pasukan.

“Saya rasa sedikit masa lagi kita akan dapat memutuskan barisan pemain, namun kita akui masih ada banyak ruang untuk memantapkan lagi kekuatan pasukan.

“Setakat ini kita sudah mengadakan dua aksi persahabatan dengan Terengganu FC dan Imigresen FC, dan akan meneruskannya dengan menentang Kuala Lumpur City FC di Selayang, pada Sabtu ini,”katanya.

Maniam mengakui pihaknya sedang berusaha untuk mengadakan perlawanan pra-musim dengan satu atau dua pasukan lain termasuk Negeri Sembilan FC (NSFC) sebelum memulakan cabaran sebenar pada 10 Mei depan.

Beliau ternyata gembira kerana diberi peluang oleh pengurusan PDRM untuk membimbing pasukan Liga Super berkenaan.

Bekas pengendali Petaling Jaya (PJ) City FC itu membimbing Harini FT dalam Liga M3 musim lalu dan mereka berjaya menduduki tempat ketiga dalam saingan berkenaan.