PETARUNG muda sensasi negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar bakal berdepan cabaran hebat dalam kariernya apabila dijadual menentang lawan yang pernah beraksi di pentas ONE Championship, Munglaos dalam saingan Rajadamnern World Series (RWS) di Bangkok, Thailand pada 18 April ini.
Mikail atau mesra disapa Miki beraksi dalam pertarungan Muay Thai kategori catchweight 58 kilogram dalam usaha melebarkan rekod kemenangannya di RWS.
Pada Februari lalu, atlet tempur berusia 17 tahun itu meraih kemenangan dalam penampilan sulungnya di RWS selepas menundukkan petarung Iran, Reza Dotielmi menerusi keputusan majoriti selepas pertarungan sengit tiga pusingan.
Namun, lawan yang menanti pemenang pingat emas Sukan SEA Thailand 2025 itu kali ini tetap berbahaya kerana memiliki kelebihan dari segi umur dan pengalaman.
Difahamkan, petarung dari Laos berusia 32 tahun itu memiliki stamina tinggi dan menjadikan siku sebagai senjata utama dalam setiap pertarungan.
Pun begitu, ini bukanlah kali pertama buat Miki berdepan lawan veteran kerana petarung mewakili Kelab Muay Thai Rentap itu pernah menumbangkan lawan berusia 36 tahun dalam aksi separuh akhir Sukan SEA tahun lalu.
Sementara itu, dalam senarai pertarungan pada malam sama, abang sulung Elias Gazali berdepan wakil tuan rumah Superchub dalam kelas lightweight.
Sebelum ini, Elias memperbaiki rekodnya di RWS kepada 1-1 selepas menewaskan petarung kelahiran Jepun, Haru Hakita dalam perlawanan berintensiti tinggi yang berlangsung seimbang.
Pertarungan RWS dijadual bermula 8 malam (waktu Malaysia).
Seorang lagi ahli keluarga berkenaan, Muhammad Johan Ghazali atau Jojo beraksi dalam saingan ONE Samurai 1 di Ariake Arena, Jepun, 29 April ini.
Jojo bakal berdepan bintang muda Jepun, Shimon Yoshinari, 21, yang memiliki rekod profesional 24 kemenangan dan hanya satu kekalahan sepanjang kariernya dalam gelanggan Muay Thai.
Rekod dalam ONE Championship juga menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila Yoshinari mencatat empat kemenangan daripada lima pertarungan, termasuk dua kemenangan menerusi keputusan sebulat suara juri dan dua lagi melalui kemenangan teknikal knockout (TKO).