KUALA TERENGGANU: Spekulasi mengenai pemain sayap lincah Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid yang dikatakan cuba dipancing kelab kaya dari Brunei, DPMM FC menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong setia skuad Penyu.
Akhyar yang juga tonggak utama pasukan dianggap aset penting menjelang saingan Liga Super musim 2025-26 yang bermula Ogos ini.
Bagaimanapun, pengurusan tertinggi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd tampil menjelaskan tiada sebarang perbincangan rasmi setakat ini antara mereka dan kelab Brunei itu.
Ketua Pegawai Operasi TFC, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, setakat ini tiada sebarang rundingan dibuat berhubung perpindahan pemain kebangsaan kelahiran Kedah itu.
“Setakat ini tiada rundingan rasmi daripada kelab berkenaan untuk mendapatkan khidmat Akhyar bagi musim 2025-26.
“Justeru, dia masih pemain TFC berdasarkan kontrak sedia ada,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
sumber:- BH
Terdahulu, DPMM FC yang kembali menyertai Liga Malaysia selepas 17 tahun dilaporkan sedang berusaha mendapatkan tandatangan pemain berusia 25 tahun itu untuk menyuntik kekuatan menjelang musim baharu.