Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melihat perkembangan beregu lelaki negara ketika ini berada di tahap tertinggi sekali gus menjadi satu permulaan yang sangat positif untuk mereka memburu pingat emas sulung di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Menurut Pengarah Kejurulatihan Badminton Beregu Negara, Rexy Mainaky, ketika ini terdapat empat pasangan negara yang berada dalam Program Road to Gold (RTG) dan itu bakal menyaksikan persaingan semakin sengit untuk merebut dua slot ke LA28 nanti.
Jelasnya, perkara seperti itu sememangnya berada dalam perancangan mereka iaitu melahirkan lebih ramai gandingan yang mampu berada dalam kelompok ranking tertinggi dunia.
“Itu memang yang kita nak. Empat pasangan dalam RTG dan dua daripadanya sudah berada dalam kelompok empat terbaik dunia. Kita belajar daripada apa yang terjadi di Paris 2024 yang lalu. Situasi ini bukan saja memberi keyakinan kepada pemain tapi turut memberi tekanan kepada negara lain.
“Mungkin kita bermula lebih awal berbanding negara lain (menuju LA28). Perkara ini boleh dilihat dari sudut positif untuk kemajuan bersama dan dalam usaha mendapatkan emas pertama di LA28,” katanya.
Untuk makluman, ranking pertama dan kedua dunia ketika ini dihuni oleh wakil negara iaitu Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia–Soh Wooi Yik sementara Tee Kai Wun–Man Wei Chong (ketujuh dunia), Wan Arif Wan Junaidi–Yap Roy King (ke-24) dan Nur Mohd Azriyn Ayub–Tan Wee Kiong (ke-25).
Setakat enam bulan pertama, pasangan negara menunjukkan perkembangan sangat baik apabila Aaron-Wooi Yik merangkul tiga kejuaraan pada saingan Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.
sumber:- HM
Manakala Kai Wun-Wei Chong meraih dua kejuaraan di Masters Indonesia dan Masters Malaysia.