KUALA LUMPUR: Edisi Kejohanan Dunia di Paris kali ini cukup bermakna sekiranya gelaran juara dunia menjadi milik barisan pemain negara kerana ia hadiah terbaik sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-68 pada 31 Ogos nanti.
Justeru, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berharap impian itu akan dapat dicapai, terutamanya menerusi barisan pemain beregu negara.
“Memang itu (Hari Kebangsaan) jadi satu motivasi, khususnya buat pemain-pemain untuk berikan hadiah kepada seluruh rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan. Memang itu satu perkara yang baik buat pemain-pemain.
“Bagi saya, pemain akan menjadi lebih bersemangat untuk cuba mendapatkan gelaran dunia pada kejohanan itu nanti. Memang itu menjadi satu kejuaraan yang baik sesuai dengan Hari Kebangsaan,” katanya.
Pada edisi kali ini, empat beregu lelaki negara akan beraksi iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Arif Junaidi-Yap Roy King dan beregu profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Sementara itu, Herry berharap penyokong dapat memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada keempat-empat beregu negara tanpa mengira status mereka sama ada bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau bergerak secara profesional.
“Malaysia ada empat beregu (lelaki) di Kejohanan Dunia nanti tetapi saya tidak mahu tengok ada orang cakap ‘ini BAM, itu profesional’ kerana mereka sama-sama bermain untuk Malaysia.
“Saya harap sokongan diberikan kepada semua kerana peluang terbuka untuk keempat-empat beregu ini mara sejauh mungkin, sama ada sehingga ke suku akhir atau mungkin bergelar juara,” katanya.
Kejohanan Dunia di Paris akan bermula Isnin ini sehingga 31 Ogos.