sukan

Beregu underdog negara sasar raih pingat di Kejohanan Dunia

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King bertekad merealisasikan impian meraih pingat di Kejohanan Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini, walaupun turun selaku ‘underdog’.

Pasangan ranking ke-22 dunia itu menegaskan status itu bukan penghalang untuk mereka mencipta kejutan menewaskan gandingan utama dunia.

Kejayaan merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia BWF di Terbuka Macau, baru-baru ini menjadi tonik terbaik menjelang aksi di Paris nanti.

“Kami dapat tahu layak ke Kejohanan Dunia sebelum beraksi di Macau.

“Ketika itu, kami hanya mahu menikmati permainan dan beri yang terbaik tanpa terlalu memikirkan soal menang. Kemenangan itu memberi keyakinan tambahan untuk ke Paris,” kata Wan Arif.

Roy King pula mengingatkan mereka supaya tidak terlalu selesa dengan gelaran juara di Macau.

“Kami tetap underdog. Walaupun sudah menang di Macau, kami perlu terus berlatih dan belajar kerana masih banyak yang perlu diperbaiki,” katanya.

Antara fokus utama mereka adalah memperkemas penerimaan servis hasil ‘ulang kaji’ daripada video perlawanan gandingan nombor satu negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, selain tunjuk ajar ketua jurulatih, Herry Iman Pierngadi.

“Kami perbaiki penerimaan servis di Macau selepas belajar daripada aksi di Terbuka Jepun dan China. Dari situ kami dapat mata penting,” jelas Wan Arif.

Mengulas harapan Aaron yang mahu melihat semua beregu lelaki negara mara ke separuh akhir, Wan Arif menyifatkannya sebagai pembakar semangat tambahan, apatah lagi final Kejohanan Dunia jatuh pada 31 Ogos iaitu Hari Kebangsaan.

Selain mereka, skuad negara turut dibarisi Aaron-Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

sumber:- HM

“Kejohanan Dunia adalah impian semua pemain. Kami akan beri 100 peratus dan berharap dapat mencipta detik manis termasuk menewaskan beregu utama untuk melakar kejutan,” kata Roy King.