Penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva tidak sabar untuk menyarung jersi Harimau Malaya selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk mewakili Malaysia sebagai pemain naturalisasi.
Bergson menyifatkan kelulusan daripada FIFA untuk mewakili Malaysia sebagai satu penghormatan besar sepanjang karier profesionalnya dan bersedia menyertai kem latihan Harimau Malaya bagi persiapan menghadapi Piala ASEAN FIFA 2026 apabila kem latihan pusat dijadual bermula pada 21 September ini.
Pemain berasal dari Brazil itu mengakui tidak pernah membayangkan akan melalui proses naturalisasi untuk mewakili Malaysia ketika mula-mula mendarat di negara ini lima hingga enam tahun lalu.
“Bila pertama kali datang ke sini, saya tidak pernah terfikir untuk dinaturalisasikan. Sasaran saya hanya satu iaitu memberikan yang terbaik buat JDT.
“Saya sangat gembira dengan prestasi dan sokongan padu yang diberikan oleh ‘boss’ (Tunku Mahkota Ismail) sepanjang perjalanan ini. Saya mahu membalas semula segala sokongan Malaysia dan Boss menerusi kerja keras di atas padang,” katanya.
Pengesahan kelayakan Bergson dan Tapp memberi lebih banyak pilihan kepada jurulatih interim Tan Cheng Hoe menjelang persiapan menghadapi edisi sulung Piala ASEAN FIFA di Jakarta bermula hujung bulan ini.
Mengulas kesediaannya menyarung jersi Harimau Malaya menjelang saingan Kelayakan Piala Asia dan kalendar FIFA, Bergson menegaskan dia sentiasa bersiap sedia sekiranya khidmatnya ditagih skuad kebangsaan.
Malah, Bergson itu turut menyimpan impian untuk terus mencetak nama sebagai penjaring pada aksi sulungnya kelak.
“Setiap hari saya tidur dan bangun dengan berfikir mengenai gol. Jika dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada 21 September ini, saya sentiasa sedia.
“Namun ia bukan bergantung kepada saya seorang kerana membabitkanisu birokrasi tetapi keinginan saya memang ada,” jelasnya.