KUALA LUMPUR: Tugas Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super musim ini sudah selesai selepas menewaskan Kuching City 2-0 dalam aksi terakhir di Stadium Negeri, Kuching semalam.
Kini, skuad Harimau Selatan mengalihkan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan lebih penting menentang Sri Pahang di pentas akhir Piala Malaysia, 26 April ini.
Aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu menjadi detik penting untuk skuad kendalian Hector Bidoglio melakar hatrik ‘quadruple’ atau memenangi empat piala dalam satu musim selepas melakukannya pada 2022 dan 2023.
Bidoglio juga seakan sudah melakukan persediaan awal untuk aksi final itu dengan ‘menyimpan’ senjata utama Harimau Selatan, Bergson Da Silva apabila penyerang itu dikeluarkan pada awal babak kedua ketika berdepan Kuching City.
Tindakan itu menutup peluang untuk Bergson mendapatkan dua lagi jaringan bagi memadam rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman yang kini dipegang bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin.
“Ini (menentang Kuching City) perlawanan terakhir kami (dalam Liga Super), tapi akan datang kami ada perlawanan yang amat penting, final (Piala Malaysia). Kami mahu menyimpan beberapa pemain untuk aksi final.
“Semua pemain mahukan detik yang baik dan semua pemain ingin beraksi di pentas akhir. Sekarang kami perlu fokus dan terus bekerja untuk menghadapi aksi final,” katanya selepas aksi berdepan Kuching City.
Bergson mengumpul 105 jaringan keseluruhan sepanjang beraksi di penats Liga Super sejak 2021, satu gol di belakang Indra Putra yang meledak 106 jaringan.
Kejayaan menewaskan Kuching City turut menyaksikan JDT yang juga juara 11 kali berturut-turut sejak 2014 menutup satu lagi saingan Liga Super dengan rekod tanpa kalah.
Ia adalah kali kelima JDT mengungguli saingan liga utama itu dengan rekod tanpa selepas melakar kejayaan sama pada 2016, 2020, 2022, dan 2023.
sumber:- BH
Sementara itu, ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak berharap pasukannya akan bangkit dalam aksi terakhir liga berdepan Negeri Sembilan, Ahad ini walaupun pasukannya sudah sah kekal di kedudukan keempat.