sukan

Bergson laung amaran awal buat Indonesia

JAKARTA: Pemain naturalisasi negara, Bergson da Silva mengakui kekuatan Indonesia yang bakal menjadi lawan Harimau Malaya di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Isnin ini, namun menegaskan skuad negara tidak datang ke Jakarta untuk tunduk kepada tekanan tuan rumah.

Sebaliknya, pemain berusia 35 tahun itu percaya cakaran Harimau Malaya cukup pedih kerana kemampuan seluruh pemain bersatu dan mengumpulkan sepenuh kekuatan apabila berdepan lawan yang dianggap sukar.

Bergson menyuarakan keyakinan itu selepas meledak gol pada penampilan pertama bersama Malaysia ketika menewaskan Bangladesh 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A Divisyen 1, Piala ASEAN FIFA 2026 di GBK, semalam.

“Setiap perlawanan pasti sukar seperti yang saya katakan sebelum ini. Kami tahu kekuatan Indonesia dan mereka bermain di tempat sendiri dalam pertandingan ini.

“Tetapi sebagai rakyat Malaysia, kami perlu fokus kepada setiap peluang yang ada ketika menentang mereka,” katanya.

Bergson yang meledak gol ketiga Malaysia pada minit ke-52 hasil hantaran Corbin Ong, mengakui pertemuan dengan Indonesia akan menuntut tahap motivasi berbeza berbanding perlawanan pembukaan.

Namun, dia percaya Harimau Malaya mampu memberikan tentangan sekiranya semua pemain mengetepikan kepentingan individu dan bergerak sebagai satu pasukan.

“Saya fikir motivasinya berbeza. Jika kita mengumpulkan semua kekuatan bersama, kita mampu mencapai apa yang kita mahukan dan itu adalah mentaliti kami.

“Kami tidak takut kepada sesiapa dan akan terus mara untuk mencapai apa yang kami mahukan. Sebab itu kami datang ke Jakarta untuk bermain dalam perlawanan seperti ini,” katanya.

Kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh memberi Harimau Malaya permulaan sempurna, manakala Indonesia turut membuka kempen dengan kemenangan 2-0 ke atas Singapura, sekali gus menjadikan pertemuan Isnin ini pertembungan dua pasukan yang sama-sama mengutip tiga mata.

Bagi Bergson, jaringan pada penampilan pertama bukan sekadar mencatat namanya dalam senarai penjaring, malah memberikan suntikan keyakinan sebelum mengharungi cabaran lebih besar bersama Harimau Malaya.

Kini, selepas Bangladesh menjadi mangsa pertama, Bergson mahu momentum itu dibawa ke pentas yang lebih panas apabila Malaysia kembali ke GBK untuk berdepan Indonesia.