Penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Bergson Da Silva, lebih memilih nasi lemak sebagai pilihan utama berbanding nasi kandar.
Dalam satu video yang tular di TikTok, pengguna bernama adibadam_ meluahkan keterujaannya dapat bertemu bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), minggu lalu.
Dia sempat bertanya juadah makanan yang popular di Malaysia kepada pemain kelahiran Brazil itu.
“Saya hanya merasai nasi lemak dan tidak pernah memakan nasi kandar,” katanya berseloroh.
Dengan penambahan satu jaringan olehnya tatkala Harimau Selatan menewaskan PDRM 7-0 dalam perlawanan Liga Super semalam, kini bakal penyerang naturalisasi Harimau Malaya itu telah menghimpun 110 gol peribadi sejak ketibaannya pada Mac 2021.
Untuk rekod, Indra Putra Mahayuddin merupakan bekas penjaring terbanyak dengan rekod 106 gol.
Bergson dijangka terus meledak jaringan memandangkan saingan liga musim ini baru memasuki minggu ketujuh, membuktikan dirinya berada dalam kelas tersendiri.
Meninjau laman Transfermarkt, Bergson sudah melakukan 153 penampilan bersama JDT merentasi semua kejohanan Liga Malaysia (Liga-M) termasuk Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Shopee Cup.