sukan

Bergson terus ledak gol, bantu JDT jinakkan Costa City

KUALA LUMPUR: Mesin gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva terus membuktikan ketajaman penyudah apabila meledak gol kemenangan 1-0 dalam aksi pramusim menentang kelab Sepanyol, Costa City, awal pagi tadi.

Jaringan tunggal penyerang Brazil itu pada minit ke-68 sudah cukup untuk memastikan kemenangan kedua berturut-turut buat skuad Harimau Selatan yang kini giat mengharungi siri perlawanan pramusim di Sepanyol.

Pertembungan di Estadi Olimpic Camilo Cano itu menjadi medan buat anak buah Xisco Munoz menguji kekuatan selepas membelasah Real Murcia Imperial 4-0 sebelum ini.

Bergson turut mencetak nama sebagai penjaring dalam aksi terdahulu, menjadikan jumlah keseluruhan dua gol setakat ini.

Kemenangan itu menjadi tonik terbaik buat juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu menjelang aksi menentang pasukan dari United Kingdom, Cardiff City yang dijadualkan berlangsung esok.

Selepas itu, JDT akan menentang dua lagi kelab dari Sepanyol iaitu Levante UD pada 12 Julai dan Valencia Mestalla pada 14 Julai, masing-masing dijangka berlangsung di venue sekitar Alicante.

Siri pramusim mereka diteruskan dengan cabaran lebih getir apabila dijadualkan berdepan tiga kelab dari rantau Timur Tengah iaitu Al Rayyan SC (16 Julai) dan Al Arabi SC (19 Julai) dari Qatar serta Riyadh FC dari Arab Saudi pada 21 Julai.

Munoz dijangka akan melakukan beberapa perubahan taktikal dan memberi peluang kepada pemain baharu untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan.

Siri jelajah pramusim itu menjadi platform penting buat JDT untuk membina momentum sebelum menghadapi cabaran lebih besar dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Kejuaraan Kelab ASEAN musim 2025-2026.

sumber:- HM

Dengan barisan pemain baharu seperti Jairo Da Silva, Hector Hevel, Jon Irazabal dan Antonio Glauder semakin serasi, peminat Harimau Selatan pastinya menaruh harapan tinggi untuk melihat pasukan kesayangan mereka terus mendominasi di peringkat domestik dan antarabangsa.