sukan

Beri peluang calon luar masuk ‘gelanggang FAM’

KUALA LUMPUR: Calon luar wajar diberikan peluang untuk memasuki ‘gelanggang pertarungan’ bagi merebut jawatan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meskipun tidak terbabit sebagai ahli gabungan.

Justeru, ahli gabungan harus berani menggunakan kuasa mereka dalam mencalonkan individu luar untuk merebut mana-mana jawatan pada kongres pemilihan barisan kepimpinan baharu FAM bagi penggal 2025-2029 yang akan berlangsung 15 Februari depan.

Mengikut statut FAM, mana-mana individu boleh bertanding merebut jawatan dengan syarat mereka mendapat pencalonan yang mencukupi daripada ahli gabungan.

Bagi jawatan presiden, enam pencalonan diperlukan daripada ahli gabungan manakala timbalan presiden pula perlukan lima pencalonan diikuti naib presiden (empat pencalonan) dan Exco (dua pencalonan).

Pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa menjelaskan individu berkenaan bagaimanapun perlu memiliki keupayaan atau berkelayakan selain dapat meyakinkan ahli gabungan bagi membolehkan mereka dicalonkan.

Beliau menyifatkan tindakan beberapa individu luar yang menyatakan hasrat untuk bertanding termasuk merebut jawatan presiden sebagai perkembangan positif.

Katanya, individu berkenaan bagaimanapun harus memahami dan bersedia dengan tugas berat yang bakal dihadapi mereka terutama dalam menyuntik dana yang besar buat badan induk bola sepak negara termasuk dengan struktur baharu Harimau Malaya.

“Jika dalam organisasi kita perlu mencari orang yang pakar dalam bidangnya bukan saja aspek kepimpinan, tapi aspek kewangan yang mereka perlu suntik dan berupaya mempengaruhi penaja besar untuk pembangunan bola sepak negara.

“Pensturukturan baharu (Harimau Malaya) juga memerlukan sumber kewangan besar. Jadi barisan kepimpinan baharu FAM harus menyuntik dana yang besar, bukan hanya mengharapkan dana dari kerajaan.

“Persatuan negeri juga pasti mengharapkan mereka mendapat suntikan dana untuk pembangunan akar umbi dan sekiranya ada calon yang boleh menyediakan perkara itu, ia akan menjadi kelebihan kepada individu terbabit tidak kira dia orang luar atau orang dalam,” katanya kepada BH Sukan.

Semalam, bekas Ketua Jabatan Pemasaran dan Tanggungjawab Sosial FAM, Sayf Ismail, 45, dilaporkan menyuarakan hasrat untuk bertanding bagi merebut jawatan Presiden FAM.

Sayf berkata, beliau sedia bertanding sebagai pilihan ‘wild card’ dan menawarkan kepakarannya bagi menerajui badan induk bola sepak negara itu dengan perspektif berbeza sebagai ‘orang luar’ dalam sukan berkenaan.

Sementara itu, sumber memaklumkan kepada BH Sukan bahawa Pengarah Eksekutif Tickethotline International, Datuk Azril Mat Drus juga sedia mempertimbangkan untuk bertanding dalam pemilihan itu sekiranya mendapat sokongan daripada ahli gabungan.

Azril yang juga Penasihat Setiawangsa Rangers FC bagaimanapun dikatakan akan mempertimbangkan untuk bertanding jawatan lain dan bukannya bagi kerusi presiden.

Dalam perkembangan sama, Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam berharap akan ada pertandingan bagi semua jawatan dari kerusi presiden hingga ke Exco.

sumber:-BH

“Itu yang sewajarnya berlaku dalam penjenamaan semula FAM untuk cabaran mereka membentuk pasukan baharu bagi menguruskan bola sepak negara,” katanya.