KUALA LUMPUR: Reformasi ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampak sukar untuk digerakkan sekiranya ‘muka lama’ berterusan diberi kepercayaan mengemudi badan induk bola sepak negara itu.
Justeru, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menegaskan ahli gabungan perlu memberi kepercayaan dan peluang kepada ‘muka baharu’ untuk mencorakkan semula kepemimpinan FAM sekali gus mengangkat kembali martabat persatuan yang terpalit dengan kemelut besar ketika ini.
Pekan menjelaskan, sudah tiba masanya muka baharu sama ada dalam kalangan FAM itu sendiri ataupun calon luar untuk menyumbang kerana jika tampuk kepimpinan masih bergelar dalam kelompok yang sama, reformasi yang diharapkan sukar untuk direalisasikan.
“Saya risau kalau muka sama masih dikekalkan, reformasi itu nanti bukan seperti yang diharapkan. Apa yang saya lihat, kita perlu ketepikan semua pemimpin yang ada dalam FAM khususnya yang memegang jawatan tertinggi kerana ada penyokong pun tidak boleh menerima mereka lagi.
“Ahli gabungan perlu melihat kepada calon baharu yang ada di sekitar mereka, calon yang lebih telus, boleh dipercayai dan boleh diberikan tanggungjawab. Jangan ada stigma dalam pemikiran ‘oh kita tiada calon yang boleh (dipertanggungjawabkan).’
“Jangan tutup minda dan kata tiada orang lain yang layak kerana pemimpin datang dan pergi tetapi FAM kekal sebagai institusi. Kalau tiada calon dalam FAM, kita boleh mencari calon dari luar yang ada kredibiliti.
“Dalam negara ini, banyak lagi orang yang tahu mengenai bola sepak. Kita kena beri kepercayaan kepada mereka dan dalam masa sama, terus memberi sokongan untuk menjayakan idea reformasi itu,” kata Pekan.
Terdahulu, BH Sukan melaporkan FAM disaran melakukan reformasi bagi memulihkan kepercayaan semua pihak terhadap badan induk itu selepas terpalit dengan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan.
Pemerhati bola sepak tempatan yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berpandangan bahawa langkah itu dianggap langkah paling penting buat FAM ketika ini selepas dikritik hebat susulan isu terbabit.
Dalam masa sama, Pekan turut melihat peranan penting yang perlu dimainkan oleh ahli gabungan FAM kerana mereka akan menjadi penentu kepada nasib dan hala tuju FAM terutamanya pada kongres yang dijangka berlangsung, awal tahun depan.
“Ahli gabungan perlu berfikir dan melakukan perancangan yang terbaik untuk memilih barisan kepemimpinan FAM yang baharu nanti.
“Adakah mereka masih lagi mahu menjadi sebagai pengikut ataupun ada kesedaran untuk bertindak sebagai kumpulan pendesak untuk mencetus perubahan yang sangat progresif dan drastik?
“Kalau mereka yang berada di dalam FAM pun tidak boleh buat, bagaimana kita yang berada di luar sistem ini? Takkan nak tunggu penyokong beramai-ramai melakukan demonstrasi di depan Wisma FAM sebagai kumpulan pendesak?
“FAM perlu bersyukur dan bernasib baik kerana penyokong kita tidak seperti penyokong di negara lain kerana kalau tidak, kemarahan penyokong disebabkan kemelut ini boleh mendatangkan kerosakan kepada institusi FAM,” katanya.